Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum dan memandang serius mengenai kes COVID-19 pertama di Pulau Pinang. Terlebih dahulu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan jutaan terima kasih atas usaha Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan juga Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dalam mencegah serta membendung wabak COVID-19 yang kini sedang melanda di kebanyakan negara.
Setelah siasatan dibuat, kes COVID-19 di Pulau Pinang ini merupakan seorang kontak rapat (close contact) kepada satu kes positif di Kuala Lumpur. Beliau telah dihubungi untuk tujuan siasatan dan persampelan. Senarai kontak rapat di tempat kerja beliau serta di rumah turut dikenal pasti sebelum keputusan ujian saringan disahkan di Institut Penyelidikan Perubatan. Adalah dimaklumkan siasatan, persampelan dan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Bagi Kontak COVID-19 telah dijalankan ke atas semua kontak rapat kes tersebut.
Sejajar itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertekad akan terus komited dan bertanggungjawab untuk meningkatkan saluran komunikasi rasmi bagi tujuan menyampaikan berita serta pesanan yang tepat dan sahih sepanjang berlakunya COVID-19 ini.
Pada kesempatan ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengingatkan orang ramai mengenai perkara-perkara berikut yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
- Menangguhkan perjalanan ke wilayah-wilayah atau bandar-bandar yang telah diisytiharkan sebagai kawasan wabak COVID-19 di negara China (termasuk Hong Kong, Taiwan dan Macau), Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran.
- Tutup mulut dan hidung dengan menggunakan tisu apabila batuk atau bersin. Sejurus selepas itu, buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah. Cuci tangan dengan sabun dan air atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer) selepas batuk atau bersin.
- Amalkan adab batuk yang baik.
- Pakai penutup mulut dan hidung (mask) apabila terpaksa berhubung / berurusan dengan orang lain.
- Pastikan tahap kebersihan diri yang optimum sepanjang masa.
- Jarakkan diri atau ‘social distancing’ sejauh satu meter sekiranya bergejala atau nampak orang bergejala.
Manakala sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk atau kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan ke negara China, Korea Selatan atau mana-mana negara yang telah diisytiharkan mengalami wabak jangkitan COVID-19, adalah dinasihatkan untuk mendapat rawatan dengan segera. Maklumkan sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat.
Untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan berhubung COVID-19, orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness & Response Centre (CPRC), JKN Pulau Pinang melalui alamat e-mel: [email protected] atau talian telefon 04 – 262 9902.
Marilah kita terus bersama-sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan JKNPP dalam mencegah serta menangani wabak COVID-19 ini secara menyeluruh demi kepentingan lapisan masyarakat.