Skip to content

Satu mesyuarat khas Majlis Tertinggi akan diadakan dalam beberapa minggu lagi untuk membincangkan isu Kanun Jenayah Syariah Kelantan (hudud) dan pilihanraya kerajaan tempatan

Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur kelmarin adalah yang pertama dihadiri oleh ketiga-tiga pemimpin parti Pakatan bagi tahun ini. Mesyuarat itu menegaskan semula Dasar Bersama tahun 2009 yang telah ditandatangani oleh ketiga-tiga parti dan bahawa Pakatan bergerak berasaskan keputusan bersama ketiga-tiga parti. Justeru itu, isu Kanun Jenayah Syariah Kelantan (hudud) dan pilihanraya kerajaan tempatan perlu dibincangkan terlebih dahulu oleh Majlis Pimpinan Tertinggi PR. Satu mesyuarat khas Majlis Tertinggi akan diadakan dalam beberapa minggu lagi untuk membincangkan kedua-dua isu yang menjadi pertikaian itu.

DAP mengambil pendirian tegas untuk mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan yang telah diharamkan oleh kerajaan Perikatan (BN) pada tahun 1965. Pilihanraya kerajaan tempatan boleh dibaca secara tersirat dalam Dasar Bersama yang ditetapkan pada Disember 2009 dengan menggunakan ungkapan “memperkukuh demokrasi kerajaan tempatan” dan secara tersurat dalam Manifesto Pilihanraya Umum Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang secara khusus menyebut tentang pelaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan, selain Manifesto Pilihanraya Umum Pakatan Rakyat Selangor 2013 yang secara jelas menyebut “menjalankan desentralisasi menerusi pelaksanaan secara bertahap Pilihanraya Kerajaan Tempatan.” Hal ini dipersetujui oleh ketiga-tiga parti di negeri berkenaan. Selain itu, tiada parti politik dalam Pakatan pernah mengemukakan usul dalam Perhimpunan Agung atau Muktamar mereka untuk menentang pilihanraya kerajaan tempatan.

Bagaimanapun, DAP sanggup membiarkan isu pilihanraya kerajaan tempatan terlebih dulu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan. Berkenaan Kanun Jenayah Syariah Kelantan pula, atau undang-undang hudud, PAS mengakui bahawa ia tidak terdapat dalam Dasar Bersama Pakatan mahu pun Manifesto Pilihanraya Umum Pakatan. PAS mendakwa bahawa undang-undang ini diluluskan pada tahun 90an sebelum Pakatan dibentuk.

Tidak kira sama ada penyelesaian boleh dicapai untuk merungkai kedua-dua isu itu atau tidak, mustahak untuk diadakan terlebih dulu mesyuarat Majlis Tertinggi Pakatan yang melibatkan pemimpin ketiga-tiga parti, selaras dengan prinsip Pakatan yang bergerak atas pembuatan keputusan secara muafakat.

Pada masa yang sama, BN bergerak secara bersendirian sehingga mengabaikan sifat inklusif dan semangat Malaysia bagi setiap orang tanpa mengira kaum dan agama. Malah BN kini mengambil sifat eksklusif dan ekstremisme perkauman UMNO seperti yang ditunjukkan oleh seorang bekas Timbalan Menteri yang secara salah menuduh masyarakat Cina di Kedah membakar Quran, sedangkan perbuatan itu dilakukan oleh seorang lelaki Muslim yang kurang siuman, dan pemimpin berkenaan sehingga kini masih belum dihukum. Lebih buruk, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Ismail Sabri Yaakob yang dipertahankan oleh Perdana Menteri dan dianggap sebagai hero kerana mengeluarkan kata-kata bahawa Cina sedang menindas Melayu dan menyalahkan kaum Cina kerana menyebabkan harga barangan tidak turun.