Skip to content

Saudara Zulkifly dari Parti Amanah dinasihati agar jangan terjerat dengan politik ala PAS atau UMNO

Cadangan daripada Timbalan Ketua Amanah Johor, Zulkefly Ahmad bahawa DAP tidak payah meletakkan calon Melayu Islam bagi DUN Johor pada pilihanraya akan datang adalah sesuatu yang DAPSY tidak akan setuju. Sebagai sahabat perjuangan dalam Pakatan Harapan, kami ingin menasihati Sdr Zulkifly agar jangan terjerat dengan permainan politik perkauman dan agama seperti yang dimainkan oleh PAS dan UMNO.

Politik agama dan perkauman masih menjadi kelemahan politik negara kerana mudah dimanipulasi oleh media pro-UMNO dan konco-konconya. DAP biasanya ‘dikambinghitamkan’ kerana prinsip DAP yang mengutamakan kebebasan, hak saksama, keadilan sosial dan solidariti telah mencabar dominasi politik kaum dan agama yang dikuasai UMNO-Barisan Nasional.

Persepsi negatif di kalangan pengundi Melayu terhadap DAP adalah sesuatu yang disedari oleh pimpinan parti. DAP akan sentiasa mengekalkan prinsip perjuangan disamping mengubah persepsi terutamanya oleh golongan pengundi Melayu. Keputusan berkaitan dengan percalonan pilihanraya adalah ketetapan pimpinan DAP yang tidak akan berdasarkan bangsa atau agama tetapi berdasarkan kualiti calon dan strategi masing-masing. Cadangan untuk meletakkan calon Melayu DAP atas ticket PKR atau Amanah adalah sesuatu yang DAPSY tidak akan bersetuju.

Kami juga ingin menasihati Zulkifly bahawa politik agama yang disalahgunakan oleh pimpinan PAS mengakibatkan penubuhan Parti Amanah.

DAPSY berharap agar persefahaman dan kerjasama politik bersama komponen Pakatan Harapan harus dianggap sebagai permulaan baru untuk mengubah politik tanahair yang berdasarkan persefahaman politik yang matang demi kebaikan rakyat Malaysia.