Skip to content

Saya berasa kesal dengan pembatalan kempen Visit Malaysia Year 2020 yang diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pada 18 Mac 2020

Saya berasa kesal dengan pembatalan kempen Visit Malaysia Year 2020 (VMY2020) yang diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pada 18 Mac 2020.

VMY2020 merupakan kempen yang penting bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan warga industri pelancongan. Namun, kerajaan telah mengambil keputusan ini susulan penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan serta menjejaskan sektor pelancongan negara dan dunia.

Menurut statistik Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), pihaknya telah mencatat kerugian berjumlah RM500 juta hasil pembatalan tempahan untuk pakej pelancongan ke luar negara susulan wabak itu.

Industri pelancongan pada asalnya menjangka situasi akan pulih pada pertengahan tahun ini tetapi mereka menghadapi cabaran yang lebih besar dengan bilangan kes COVID-2020 yang makin meningkat di seluruh dunia dan kini bertambah lagi dengan pembatalan VMY2020.

Oleh itu, keutamaan kerajaan sekarang adalah untuk membantu industri pelancongan domestik melalui tempoh yang amat mencabar ini.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Belanjawan 2020 telah memberi peruntukan sebanyak RM1.1 bilion kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di mana RM300 juta dikhaskan untuk meningkatkan kesedaran dan promosi sempena kempen VMY2020.

Dana khas berjumlah RM5 juta yang dikenali sebagai GAMELAN Malaysia turut disediakan oleh Kerajaan PH sebagai sokongan kewangan kepada para penggiat industri pelancongan yang melaksanakan aktiviti-aktiviti pemasaran dan promosi dalam usaha untuk mempromosi Malaysia.

Selain itu, semasa saya memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, kerajaan Pakatan Harapan Negeri Johor telah berjaya memberi peruntukan sebanyak RM15 juta kepada Tourism Johor dalam Belanjawan Johor 2020 bagi menjayakan Visit Johor 2020. Peruntukkan Kerajaan Pakatan Harapan Johor ini merupakan peruntukan yang tertinggi dalam sejarah negeri ini.

Tujuan asal peruntukan Belanjawan Johor 2020 adalah untuk mempromosikan maskot ‘Joh’ dan logo berimej alat muzik gambus yang telah dipilih melalui pertandingan maskot dan logo, menaiktaraf laman web rasmi dan memantapkan lagi promosi atas talian, promosi domestik dan antarabangsa, menambah laluan penerbangan serta menyediakan subsidi mesyuarat, insentif konvensyen dan pameran (MICE) dan sebagainya.

Ekoran keputusan kerajaan persekutuan untuk membatalkan VMY2020, saya mencadangkan kerajaan negeri Johor yang baru supaya menangguhkan kempen Visit Johor 2020 dan menggunakan peruntukan belanjawan sebagai dana untuk membantu industri pelancongan yang merangkumi hotel, pusat membeli belah, taman tema, pemandu pelancong, bas persiaran, agensi pelancongan dan lain-lain berdepan dengan impak COVID-19.

Kerajaan persekutuan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara. Semestinya, ini adalah cabaran bagi seluruh rakyat. Saya mengambil kesempatan ini untuk menasihati orang ramai supaya mematuhi perintah ini dan bersama-sama untuk melawan wabak ini.