Saya berasa sedih dengan rekod tertinggi 28 kematian di Pulau Pinang pada 23 Ogos. Nombor pembiakan asas Covid-19 yang tinggi (R0 atau “R naught”) iaitu 1.14 bagi Pulau Pinang pada 23 Ogos berbanding angka R0 1.01 bagi seluruh negara perlu diberi perhatian. Angka R0 yang tinggi ini menunjukkan peningkatan jangkitan di Pulau Pinang akan terus berlanjutan dan tidak akan turun bawah 1,000 kes setiap hari bagi satu jangka masa yang terdekat.
Selain pematuhan SOP pencegahan, ujian saringan massa dan vaksinasi adalah satu-satunya bentuk perlindungan yang tersedia kepada kumpulan rentan rakyat Malaysia, terutama mereka yang tidak sihat dan mempunyai masalah kesihatan. DAP mengulangi seruan kami terhadap ujian saringan massa dan mempercepatkan vaksinasi yang telah turun bagi seluruh negara di bawah sasaran harian 500,000 dos kepada 396,578 dos pada 23 Ogos 2021. Kerajaan perlu menjelaskan mengapa kadar vaksinasi menurun dari 531,114 dos pada 18 Ogos kepada kurang daripada 400,000 dos sekarang.
Walaupun terdapat penurunan jangkitan harian kepada 17,236 kes, Malaysia masih terperangkap dalam kitaran jangkitan dalam komuniti dengan kadar positiviti (kes positif daripada jumlah ujian yang dijalankan) sebanyak 14.96% pada 23 Ogos, lebih daripada tiga kali ganda melebihi tahap 5% yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Daripada 118,158 ujian yang telah dilakukan, kadar positiviti 14.96% menunjukkan bahawa jumlah ujian yang telah dilakukan tidak cukup untuk mengurangkan jumlah jangkitan berdasarkan pelaksanaan Uji, Kesan, Kuarantin, Sokong dan Vaksinasi (FTTIS + V) berskala besar seperti disarankan oleh WHO
Kadar positiviti meningkat secara berterusan dari 13.11% pada 17 Ogos, 13.34% pada 18 Ogos, 14.06% pada 19 Ogos, 14.5% pada 20 Ogos dan 14.81% pada 21 Ogos. Kadar positiviti yang tinggi menunjukkan bahawa kadar jangkitan tidak menunjukkan tanda akan surut dan merupakan bukti jelas terhadap kerajaan yang telah gagal dalam sasarannya untuk membendung dan menghapuskan wabak tersebut.
Usaha ujian saringan massa perlu diperluas kepada sekurang-kurangnya 1% penduduk atau 320,000 ujian setiap hari di Malaysia supaya jangkitan dapat dikesan lebih awal dengan kuarantin dan rawatan. WHO mengesyorkan FTTIS + V sebagai langkah pencegahan terhadap wabak besar di masa depan. Imuniti kelompok harus dicapai hanya melalui suntikan vaksin, bukan melalui jangkitan dan suntikan vaksin.