Skip to content

Saya katakan pada Mahathir pada tahun 2019 yang kita perlu serius dengan manifesto pilihan raya kita dan saya dikejutkan dengan kenyataannya yang mengatakan bahawa manifesto pilihan raya bukan kitab suci

Saya berterima kasih kepada Tommy Thomas kerana sudi menjadi moderator perbincangan ini.

Saya mestinya antara orang terawal yang memaklumkan Tommy pada tahun 2018 yang dia akan dipilih menjadi Peguam Negara selepas saya dimaklumkan perkara ini oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad.

Saya tidak pernah minta kepada Mahathir, yang telah menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada tahun 2018, untuk apa-apa bagi diri saya atau untuk sesiapa pun, dan saya terkejut apabila dia melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Tetapi saya telah berjumpa dengan Mahathir sebanyak tiga kali dan pada tahun 2019, saya telah memberitahu Mahathir yang kerajaan Pakatan Harapan perlu serius dengan janji pilihan rayanya dan saya dikejutkan dengan kenyataan Mahathir yang mengatakan janji pilihan raya ini bukanlah satu kitab suci.

Dia bersetuju untuk membentuk sebuah jawatankuasa untuk menyemak pelaksanaan janji-janji pilihan raya, yang akhir disia-siakan selepas berlakunya konspirasi politik Langkah Sheraton yang telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang berusia hanya 22 bulan.

Pada tahun itu juga saya telah katakan yang bersedia untuk bertaruh dengan seorang pemimpin UMNO bahawa Mahathir akan mengotakan janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dia tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya baharu, walau apa pun pandangannya terhadap Anwar.

Dia mengumumkan perkara ini di mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 21 Februari 2020, di mana dia akan menyerahkan pentadbiran kepada Anwar menjelang penghujung tahun selepas persidangan APEC, yang telah dihalang dari terjadi dengan konspirasi politik Langkah Sheraton beberapa hari kemudian.

Baru-baru ini, Mahathir telah mengesahkan pendiriannya ini dalam satu podcast dengan Khairy Jamaluddin.

Esok adalah ulang tahun pertama pentadbiran Anwar Ibrahim.

Ramai orang, terutamanya para pemimpin Bersatu dan PAS seperti Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang, tidak menjangkakan yang Anwar akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga setahun.

Apabila anda perlu bersaing demi kehidupan politik anda, keutamaan yang berbeza mula muncul kelihatan.

Tetapi apabila adanya kestabilan politik dan Anwar tidak perlu sentiasa bimbang untuk tidak ditumbangkan, jangkaan untuk dia memenuhi janji-janji pilihan rayanya mula meningkat.

Terdapat banyak kritikan yang mengatakan Anwar belum memenuhi janji-janji pilihan rayanya.

Tetapi saya ingin menggesa rakyat Malaysia untuk memberikan Anwar tiga ke empat tahun sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 sebelum menilai sama ada Anwar telah berjaya atau gagal untuk memenuhi janji-janji pilihan rayanya.

Akhir sekali, saya ingin menyatakan sokongan saya terhadap pandangan Tawfik Ismail dan nyatakan yang UMNO mampu untuk mengembalikan sokongan politiknya sekiranya mereka kembali kepada prinsip-prinsip pembinaan negara yang dipegang tiga Perdana Menteri terawal negara, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein Onn.

Kita tidak boleh berjuang dalam pertempuran masa lampau, sebaliknya kita perlu bergerak ke hadapan berdasarkan Perlembagaan Malaysia, Rukun Negara, dan sembilan matlamat strategik Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia contoh tauladan dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian, antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.