Skip to content

Saya memandang serius dakwaan bahawa seorang pelajar dirangkul leher dan diheret dengan kasar oleh anggota polis semasa Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 pada 28 Jun 2025.

Saya menuntut agar pihak polis menyiasat segera dan secara telus — adakah pelajar tersebut terlibat dalam insiden pembakaran suar, atau adakah beliau menjadi mangsa kekasaran tanpa sebab yang sah? Jika tiada kaitan langsung, tindakan anggota polis terbabit adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang tidak boleh dibiarkan.

Saya tidak menyokong tindakan membakar suar dalam mana-mana himpunan. Ia membahayakan keselamatan awam dan tidak patut berlaku. Namun demikian, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk pihak berkuasa bertindak ganas terhadap peserta himpunan yang lain, khususnya mereka yang tidak melakukan sebarang provokasi.

Perhimpunan aman adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan. Jangan kita lupa kerajaan ini wujud hasil daripada semangat dan perjuangan rakyat yang berhimpun menuntut keadilan dan reformasi. Maka, hak rakyat untuk berhimpun secara aman mesti dipertahankan dan tidak boleh dikompromi.