Skip to content

Saya memuji tindakan SPRM yang telah menahan Datuk Bandar Johor Bahru di atas siasatan kes menerima rasuah

Saya memuji tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah menahan Datuk Bandar Johor Bahru di atas siasatan kes menerima rasuah. Penahanan individu terbabit jelas menunjukkan budaya rasuah tidak mempunyai tempat di dalam masyarakat Malaysia dan setiap individu yang terlibat dengan budaya tersebut pasti akan menerima balasan yang setimpal.

Saya percaya pihak SPRM tekun menjalankan kerja-kerja pencegahan rasuah di negara kita. Sungguhpun begitu, usaha-usaha mencegah dan menangani kes rasuah perlu digiatkan lagi. Mengikut data tahun 2020 yang diberikan oleh Transparency International, sebuah badan yang memantau kegiatan rasuah, Malaysia terletak di tangga yang ke-51 daripada 180 buah negara. Kedudukan yang agak corot ini menyatakan bahawa budaya rasuah sudah berakar umbi dalam masyarakat kita dan jelasnya, ia sudah menembusi segenap lapisan masyarakat dari setiap aras jawatan, dari Menteri hingga ke pegawai.

Oleh yang demikian, saya menyeru orang ramai untuk sama-sama menggembleng tenaga dan memberikan kerjasama dalam memerangi budaya rasuah. Sekiranya kita menyaksikan atau dilibatkan dengan jenayah rasuah oleh pegawai kerajaan tempatan, jangan takut untuk melaporkan! Jenayah keji ini wajib untuk dilaporkan kerana mereka ini dibayar untuk menjaga kemaslahatan awam dan bukan untuk memilih bulu mereka sendiri.

Di peringkat atas, kita tidak boleh membiarkan golongan yang tamak haloba mendapat projek-projek khas hanya kerana mereka mempunyai pengaruhan yang luas. Di peringkat bawahan pula, kita juga tidak boleh membenarkan anggota-anggota kerajaan tempatan meminta dan menerima “duit kopi”. Selagi budaya seperti ini dibiarkan hidup, selagi itu kita akan bergelut menyelesaikan masalah rasuah di negara kita yang semakin hari, semakin meruncing.

Jangan pandang enteng akan isu rasuah dan ayuh jalankan tanggungjawab kita sebagai rakyat yang berintegriti!