Tan telah memohon maaf secara terbuka, mengakui kesilapannya, menzahirkan penyesalan serta menyatakan kesediaan penuh untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis. Dalam keadaan ini, tindakan menahannya selepas tengah malam, setelah beliau dipanggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, adalah bersifat menekan dan represif.
Tindakan ini menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan dan kesaksamaan dalam penguatkuasaan undang-undang. Hakikatnya, ramai tokoh politik yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan sensitif tidak pernah ditahan walaupun pelbagai laporan polis telah dibuat terhadap mereka. Malah, terdapat juga ahli politik yang dikaitkan dengan skandal rasuah sehingga melibatkan rampasan wang berjumlah berbilion ringgit daripada bekas pegawainya, namun masih bebas tanpa sebarang penahanan.
Mengapa layanan berbeza dikenakan terhadap Tan? Adakah undang-undang hanya tegas terhadap individu tertentu tetapi longgar terhadap mereka yang berpengaruh?
Penguatkuasaan undang-undang tidak boleh dijadikan alat untuk menghukum secara terpilih. Amalan ini mesti dihentikan kerana ia mencabul prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang negara.