- Baru-baru ini, YB Dr Muhamad Akmal Saleh seolah-olah memainkan peranan ‘polis moral’ dalam beberapa isu hangat seperti isu stokin KK Mart dan kasut Vern’s di mana beliau menghukum dan memberi amaran kepada syarikat-syarikat yang dituduh menyalahgunakan kalimah Allah supaya mereka mengambil tindakan tertentu dan sekiranya tidak, belilau menyeru orang awam untuk memboikot perniagaan tersebut. Tindakan dan ancaman beliau ini telah menimbulkan kegelisahan dan kerisauan dalam masyarakat.
- Natijahnya, sebahagian umat Islam negara kini mudah untuk membuat sangkaan bahawa pihak lain menghina agama Islam secara sengaja, manakala orang bukan Muslim pula takut produk-produk mereka boleh menimbulkan kemarahan umat Islam. Keadaan ini telah menimbulkan kecurigaan dan ketidakyakinan antara satu sama lain dalam masyarakat serta menghalang integrasi nasional dan juga menakutkan pelabur asing yang berniat untuk melabur di Malaysia.
- Isu kasut jenama tempatan Vern’s yang didakwa mencetak perkataan kalimah “Allah” pada tapak kasut merupakan mangsa daripada sangkaan dan kegelishan ini. Menurut penjelasan syarikat Vern’s, inspirasi logo tersebut adalah berbentuk kasut tumit tinggi, namun demikian syarikat ini terpaksa juga memohon maaf atas kesilapan persepsi dan berjanji untuk memberi bayaran balik kepada pelanggan yang membeli kasut berkaitan.
- Selain itu, terdapat juga individu yang mendakwa hotel “All In” di Perlis menggunakan perkataan yang merujuk kepada “Allah”.
- Dalam kes-kes sebegini, syarikat-syarikat ini tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi mereka perlu meminta maaf agar tidak mengganggu persepsi umat Islam. Ini adalah trend yang sangat tidak sihat untuk pembangunan masyarakat dan ekonomi Malaysia.
- Oleh itu, saya menggesa ahli-ahli politik seperti Dr Akmal supaya tidak mengamalkan sikap ‘hero individu’ atau ‘heroic individualism’ dengan mengapi-apikan isu sensitive dan memainkan peranan ‘moral police’ supaya sendiri menjadi “wira bangsa” yang kononnya melindungi agama tetapi sebenarnya bertujuan untuk meraih kepentingan politik jangka pendek. Tindakan beliau bukan sahaja memangsakan orang lain, malah juga mengorbankan masa depan negara.
- Saya ingin menegaskan bahawa negara kita ialah merupakan sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, di mana sebarang tindakan yang melanggar undang-undang harus disiasat dan diambil tindakan oleh agensi penguatkuasaan dan bukan oleh individu tertentu.
Saya menyeru Ketua Pemuda UMNO, YB Dr Muhamad Akmal Saleh supaya berhenti mengamalkan sikap ‘hero individu’ atau ‘heroic individualism’ serta tidak bertindak sebagai ‘polis moral’. Saya juga menggesa rakyat jelata supaya tidak terpengaruh dan tidak dihasut oleh mana-mana pihak untuk mengeluarkan kata-kata yang berunsur kebencian.
- 9 April 2024
- JASON NG THIEN YEONG
- ADUN ASTAKA
- KENYATAAN MEDIA OLEH JASON NG THIEN YEONG PADA 9 APRIL 2024