Skip to content

Saya tidak melanggar peraturan kuarantin rumah

Saya telah dituduh melanggar peraturan kuarantin rumah dari 1 hingga 10 September dengan menghadiri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2 September. Saya juga telah dituduh dengan palsu bahawa saya keluar ke tempat awam untuk mengedarkan bakul makanan kepada penduduk di kawasan Parlimen saya pada 2, 4 dan 8 September seperti hantaran facebook saya. Ini adalah tidak benar.

Saya hanya diberitahu pada 2 September setelah menghadiri mesyuarat DUN Pulau Pinang bahawa saya mungkin kontak rapat dengan seorang pesakit positif COVID-19 pada 1 September. Saya telah tinggal di rumah di bawah kuarantin kendiri selepas menghadiri sidang DUN Pulau Pinang pada 2 September dan telah kemudiannya diuji negatif. Pada 6 September, Kementerian Kesihatan secara rasminya telah mengeluarkan arahan kuarantin kendiri di rumah dari 1 sehingga 10 September dan mewajibkan saya memakai gelang merah jambu.

Saya tidak keluar ke tempat awam untuk mengedarkan bakul makanan selepas 2 September. Hantaran Facebook pengedaran bakul makanan telah dilakukan beberapa kali pada atau sebelum 31 Ogos di kawasan Parlimen saya di Bagan.

Wakil-wakil rakyat DAP Phee Boon Poh, Soon Lip Chee dan Sateesh Muniandy yang hadir bersama saya, serta para penerima bantuan, juga dapat mengesahkan bahawa pengedaran bakul makanan telah dilakukan pada atau sebelum 31 Ogos. Hantaran Facebook pengedaran bakul makanan dibuat bukan pada hari yang sama tetapi beberapa hari selepas acara tersebut.