Saya sedang duduk menulis mesej Hari Raya Aidilfitri kepada rakyat Malaysia, baik Muslim atau bukan Muslim, apabila saya membaca serangan Presiden PAS, Hadi Awang, di Facebook terhadap DAP dan saya.
Saya tidak tahu mengapa Hadi memilih Hari Raya Aidilfitri untuk melancarkan serangannya terhadap DAP dan saya.
Saya telah bersara dari politik barisan hadapan DAP untuk lebih dari setahun dan saya tidak boleh dan tidak akan memberi respon bagi pihak pimpinan DAP, tetapi saya tidak boleh membiarkan serangan Hadi terhadap saya tidak dijawab.
Hadi bukanlah seorang penipu yang hebat memandangkan agak mudah untuk saya dedahkan kebergantungannya terhadap penipuan, fitnah, dan berita palsu dalam berhujah, seperti yang dapat dilihat dalam empat kejadian berikut:
- Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, dia menuduh DAP mempromosikan Islamofobia. Sudah lima bulan berlalu sejak daripada tuduhan tidak masuk akal ini dibuat dan walaupun selepas berkali-kali saya cabar, dia masih gagal untuk memberikan sebarang bukti untuk tuduhan liar ini. Dia adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang membuat pertuduhan tanpa sebarang bukti.
- Semasa pilihan raya kecil Teluk Intan pada bulan Mei 2014, Hadi mengingatkan ahli-ahli PAS bahawa DAP yang membantu PAS ketika gabungan Barisan Nasional cuba untuk menumbangkan kerajaan PAS di Kelantan semasa Darurat Kelantan 1977. Dia mengatakan walaupun ada banyak perkara yang amat berbeza di antara DAP dan PAS, seperti mengenai apa yang halal dan haram, alkohol, khinzir, dan hudud, kedua-dua parti ini bersetuju di antara satu sama lain untuk menghapuskan kemiskinan, kezaliman, dan rasuah, dan juga perkara-perkara buruk yang lain. Adakah DAP mempromosikan Islamofobia semasa membantu PAS pada tahun 1977?
- Hadi patut tahu sekarang yang DAP bukanlah pihak di sebalik kejadian pada 2018 apabila kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Mahathir Mohamad cuba untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Diskriminasi Perkauman (ICERD). Adakah Hadi akan memohon maaf untuk serangan buruknya terhadap DAP sebagai kononnya menjadi “dalang” di sebalik cubaan ratifikasi ini?
- Sejak tahun 2018, Hadi tidak berjaya untuk menunjukkan satu pun contoh di mana martabat Islam direndahkan dalam 55 dari 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah meratifikasi ICERD atau kejadian di mana sistem monarki terkesan di 36 negara dengan sistem beraja yang telah meratifikasi ICERD.
Selepas empat kegagalan seperti ini, apakah kredibiliti yang masih ada pada Hadi untuk bercakap benar dan jujur, berdasarkan fakta dan kebenaran dan bukannya dengan penipuan, fitnah, dan berita palsu?
Hadi telah mengulangi tuduhan yang saya ini kononnya komunis, sedangkan dia gagal memberikan sebarang bukti.
Sekiranya saya adalah seorang komunis, mengapa Kementerian Dalam Negeri tidak menangkap saya ketika Perikatan Nasional menjadi kerajaan di bawah pimpinan dua orang Perdana Menteri “pintu belakang” selama 32 bulan dari tahun 2020 hingga 2022?
Saya tidak pernah menjadi seorang komunis, tetapi Hadi berkeras bahawa saya seorang komunis. Bilakah dia menyedari perkara ini?
Tetapi, seorang komunis bukanlah jelmaan syaitan, seperti yang Hadi patut sedar di mana perjanjian keamanan di antara Arab Saudi dan Iran dibentuk oleh seorang komunis – Xi Jinping, Presiden China yang komunis.
Saya sentiasa percaya yang Malaysia boleh memainkan peranan global dan salah satu peranan ini adalah untuk menjadi contoh persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Adakah Hadi bersetuju?
Hadi tidak mempunyai sebarang bantahan sekiranya Malaysia menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik.
Saya tidak bersetuju. Saya melihat Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi salah satu negara terbaik dan contoh kepada dunia.
Jadi, pada hari yang mulia sempena perayaan salah satu agama yang terpenting di dunia, walaupun dengan segala persepsi yang salah dan palsu terhadap DAP dan saya, saya tidak ada sebarang kata-kata keras untuk Hadi dan saya ucapkan kepada Hadi dan PAS, “Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahid dan Batin!”
Marilah kita semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, bersama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri dan menunjukkan yang kita boleh menjadi contoh persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara kaum, agama, budaya, dan tamadun kepada seluruh dunia.
Contoh yang ditunjukkan Hadi tidak patut diikuti sekiranya kita mahu memainkan peranan ini kepada dunia.