Skip to content

Sebagai ketua negara, Ismail Sabri perlu merancang arah tuju negara mendepani krisis mata wang

Pagi ini, saya bersama ahli-ahli DAP Kepong telah mengedarkan baucar tunai kepada lebih kurang 500 orang pengunjung di Pasar Pagi Kepong Baru. Inisiatif ini dianjurkan bagi membantu para pengunjung pasar yang kini terbeban dengan kenaikan harga barang serta menggalakkan orang ramai untuk membantu para peniaga tempatan dan membeli secara terus dari mereka.

Di dalam kesempatan ini, ingin saya ketengahkan isu kemelesetan nilai mata wang ringgit Malaysia. 2 minggu lalu, kita dikejutkan dengan berita kejatuhan nilai mata wang ringgit yang terburuk sejak krisis mata wang Asia pada tahun 1997-1998. Kejatuhan nilai mata wang negara jelas membuktikan keadaan ekonomi negara yang sedang tenat. Walaupun begitu, Perdana Menteri Ismail Sabri masih berpeluk tubuh dan berdiam diri tanpa sebarang reaksi mengenai hal yang sedemikian. Adalah dianggarkan bahawa kadar inflasi negara akan terus meningkat dalam jangka setahun yang akan datang dan pihak kerajaan masih tiada usaha konklusif bagi menangani isu yang berlaku. Pelbagai jawatankuasa ditubuhkan tetapi masalah masih ada, malahan lebih teruk. Walaupun gaji minimum dinaikkan beberapa bulan lepas, jelasnya jumlah ini tidak mencukupi dan golongan B40 masih tersepit.

Apakah Perdana Menteri akan masih kekal sepi tanpa sebarang kenyataan? Sekiranya ini adalah cara pimpinan beliau, bukankah beliau adalah Perdana Menteri yang paling lemah (worst) di Asia Tenggara ketika mendepani krisis ekonomi yang melanda rantau ini?

Sebagai ketua negara, beliau perlu merancang arah tuju negara mendepani krisis dan rakyat perlu diberikan waktu untuk bersiap siaga dan dibantu. Andainya perkara-perkara tersebut tidak dapat ditunaikan, adalah lebih baik beliau turun dari jawatan yang dipegang dan diberikan jawatan tersebut kepada individu- individu yang lebih layak.