Skip to content

Sebagai komitmen terhadap usaha untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asal yang dipersetujui oleh tokoh kemerdekaan negara, sumpah Ahli-ahli Parlimen patut dipinda untuk memasukkan janji untuk mempertahankan dan memperjuangkan prinsip-prinsip Rukun Negara

Konvensyen Kerajaan Perpaduan pada hari Ahad telah mencipta satu permulaan politik yang baharu untuk negara dan sidang Parlimen selama tiga minggu yang bakal bermula pada hari Isnin depan patut mula menyerlahkan langkah-langkah untuk membangunkan sebuah Malaysia yang bersatu padu, progresif, dan makmur di mana kita boleh menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.

Kita baru mengambil beberapa langkah terawal dalam perjalanan panjang untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kepada prinsip-prinsip pembinaan sebuah negara Malaysia yang majmuk seperti yang dipersetujui oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (yang mana termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara yang kesemuanya juga merupakan Presiden UMNO) tetapi terdapat banyak halangan dan anasir-anasir yang mahu melihat usaha ini gagal.

Disinilah tempatnya untuk Parlimen memainkan peranan yang amat penting, untuk menunjukkan komitmen kepada usaha untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asal yang dipersetujui oleh tokoh kemerdekaan negara, sumpah Ahli-ahli Parlimen patut dipinda untuk memasukkan janji untuk mempertahankan dan memperjuangkan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Rukun Negara sepenuhnya menyatakan:

BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:

  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;
  • Memelihara cara hidup demokratik;
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;
  • Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak;
  • Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

  1. KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
  2. KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
  3. KELUHURAN PERLEMBAGAAN
  4. KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
  5. KESOPANAN DAN KESUSILAAN”

Pindaan terhadap sumpah Ahli Parlimen ini penting memandangkan masih ada sesetengah Ahli Parlimen yang enggan untuk mengisytiharkan sokongan atau kesetiaan mereka terhadap kelima-lima prinsip Rukun Negara yang bertujuan untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang bersatu padu, progresif, makmur, dan majmuk yang telah dilantik menjadi Menteri Kabinet atau jawatan-jawatan tinggi lain dalam kerajaan yang sebelum ini.

Perkara ini akan menjadi ujian terhadap semangat patriotisme para pemimpin Malaysia dengan konsep Malaysia seperti yang diazamkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara.