Skip to content

Sebagai seorang penjawat awam dan Pengerusi CUEPACS Datuk Adnan Mat seharusnya mengambil sikap neutral dan tidak mengeluarkan kenyataan yang membidas saranan daripada mana-mana Ahli Parlimen

Saya terpanggil untuk menyuarakan rasa terkilan saya setelah membaca kenyataan Pengerusi Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat baru-baru ini berkenaan dengan isu penglibatan hampir 90% perkhidmatan awam Malaysia yang rata-ratanya didominasikan oleh bumiputera (Melayu).

Yang lebih menghairankan saya lagi ialah reaksi beliau terhadap kenyataan saranan Ahli Parlimen Seputeh untuk menjadikan perkhidmatan awam kita berwajah majmuk dengan penglibatan pelbagai kaum yang lebih seimbang dan adil agar dapat memberikan gambaran sebenar tentang keunikan kepelbagaian kaum di Malaysia selari dengan slogan “Keluarga Malaysia” yang disarankan oleh kerajaan ketika ini.

Saya tidak faham kenapa Pengerusi CUEPACS tersentap dengan saranan Ahli Parlimen Seputeh yang pada pendapat saya turut sama memperjuangkan kepentingan penjawat-penjawat awam kita.

Sebagai seorang penjawat awam dan Pengerusi CUEPACS beliau seharusnya mengambil sikap neutral dan tidak mengeluarkan kenyataan yang membidas saranan daripada mana-mana Ahli Parlimen kerana tindakbalas terhadap kenyataan dan seruan seorang Ahli Parlimen sepatutnya datang daripada anggota jemaah menteri memandangkan isu ini berkaitan dengan dasar dan halatuju kerajaan.

Reaksi yang tidak sewajarnya berlaku ini adalah susulan cadangan balas Ahli Parlimen Seputeh terhadap jawapan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Latiff berkenaan dengan 88.69% daripada jumlah keseluruhan keanggotaan jawatan tertinggi (JUSA, TURUS, Gred 56 hingga 1 – tidak termasuk polis dan tentera) di dalam perkhidmatan awam terdiri daripada bumiputera dengan komposisi 77.52% (987,322) adalah Melayu, 7.4%(94,000) adalah bumiputera dari Sabah dan 4.7% (60,031) adalah bumiputera dari Sarawak.

Sebagai seorang wakil rakyat dan Ahli Parlimen bumiputera Sabah, saya amat terkilan apabila mendapat laporan bahawa peratusan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan daripada kaum-kaum bumiputera Sabah dan Sarawak cuma 11.17% sahaja. Komposisi yang jelas tidak adil dan amat menyedihkan bagi saya. Ini jelas memberikan satu gambaran bahawa terdapat kepincangan di dalam pengagihan jawatan-jawatan tertinggi di dalam perkhidmatan awam kita. Kerajaan perlu mengakui dan memandang serius masalah ini dan langkah-langkah yang komprehensif perlu di ambil dengan segera.

Perkhidmatan awam adalah tulang belakang kerajaan dan negara. Sektor perkhidmatan awam kita sewajarnya menerapkan dan memberikan peluang kepada setiap warganegara Malaysia yang berkemampuan, berkebolehan dan berbakat serta mempunyai taraf pendidikan yang sewajarnya.

Kenaikan pangkat di kalangan pegawai kerajaan kita juga haruslah berdasarkan prestasi dan pencapaian, dan bukannya etnik.

Jawapan daripada YB Menteri yang sama di Jabatan Perdana Menteri yang menyebut, “Pengambilan dan pelantikan pegawai ke Perkhidmatan Awam Am adalah berasaskan merit dan kompetensi seseorang calon, ….. Kerajaan tidak menerapkan sebarang kuota berdasarkan kapasiti kaum, bangsa atau etnik tertentu dalam pelantikan serta pertimbangan kenaikan pangkat penjawat awam……”

Sekiranya kenyataan YB Menteri ini benar, saya ingin mengesa kerajaan untuk mengkaji faktor-faktor yang menyebabkan fenomena komposisi kaum yang jelas tidak seimbang di dalam perkhidmantan awam kita hari ini dan seterusnya mengambil langkah-langkah segera yang efektif dan konstruktif untuk membetulkannya.

Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum. Kemakmuran kepelbagaian kaum, bangsa dan budaya ini adalah kekuatan dan tunjang yang menjadikan negara kita sebuah negara yang unik.

Oleh kerana kepelbagaian kaum di negara kita ini, saya berpendapat keseimbangan komposisi kaum di dalam perkhidmatan awam kita adalah sangat penting bagi memastikan perkhidmatan awam kita dapat memberikan perkhidmatan yang efisien kepada kepada setiap lapisan masyarakat yang terdapat di Malaysia.

Sehaluan dengan prinsip “Keluarga Malaysia”, saya yakin dengan adanya penglibatan kaum-kaum lain yang lebih seimbang di dalam jawatan-jawatan tertinggi di dalam perkhidmatan awam akan menjurus kepada kestabilan dan kemakmuran negara kita.