Skip to content

Sebelum ini SPRM, kini Jabatan Peguam Negara pula berhempas pulas menyerang saya dengan komen bahawa mereka yakin 99% akan menang sabitan pertuduhan, seiring dengan strategi politik baru Kerajaan Perikatan Nasional iaitu “Ini Semua Salah Lim Guan Eng ”

Komen JPN mengenai dua pertuduhan baru terhadap saya kerana curang melupuskan harta benda berjumlah RM208.7 juta, di bawah Kanun Keseksaan berkaitan dengan projek terowong dan 3 lebuh raya (projek terowong), hanya memperkukuhkan syak wasangka orang ramai bahawa pertuduhan itu bermotif politik. Sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kini Jabatan Peguam Negara pula berhempas pulas menyerang saya dengan komen bahawa mereka yakin 99% akan menang sabitan pertuduhan seiring dengan strategi politik baru kerajaan Perikatan Nasional iaitu “Ini Semua Salah Lim Guan Eng”.

Sebelum ini saya telah menghadapi 3 pertuduhan rasuah berkaitan dengan projek terowong walaupun tidak ada wang suapan atau ganjaran yang dijumpai di dalam akaun bank peribadi saya atau dalam pemilikan saya dalam bentuk wang tunai. Namun saya tetap didakwa kerana – “Ini semua salah Lim Guan Eng.”

Projek terowong ini dianugerahkan melalui tender terbuka pada tahun 2013 yang diputuskan oleh Lembaga Perolehan Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai kanan kerajaan yang lain. Namun saya tetap didakwa walaupun saya tiada di dalam Lembaga Perolehan Negeri, kerana – “Ini semua salah Lim Guan Eng.”

Bayaran berjumlah RM208 juta yang diputuskan melalui pertukaran tanah (land swap) adalah berdasarkan perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan negeri dan kontraktor yang diputuskan oleh EXCO dan jawatankuasa teknikal lain. Saya tetap didakwa, walaupun bukan saya seorang sahaja yang membuat keputusan mengenai perjanjian itu kerana – “Ini semua salah Lim Guan Eng.”

Keputusan untuk membayar RM 208 juta dibuat selepas syor daripada pakar perunding kejuruteraan bebas kepada pegawai kanan kerajaan. Pakar perunding bebas ini telah dilantik secara tender terbuka. Walaupun bukan hanya saya orang yang membuat syor atau keputusan untuk bayaran tersebut kerana saya bukan seorang jurutera, namun saya tetap didakwa kerana – “Ini semua salah Lim Guan Eng.”

2 Pertuduhan Terbaru Adalah Ibu Kepada Semua Pembohongan Bahawa “Ini Semua Kesalahan Lim Guan Eng” – Adakah Semua Anggota EXCO Dan Seluruh Kerajaan Negeri Pulau Pinang Juga Akan Didakwa?

Peguam saya tidak faham mengapa JPN berkeras untuk memindahkan kes saya ke Kuala Lumpur, walaupun pertuduhan terhadap saya didakwa kononnya berlaku daripada awal hingga akhir, sepenuhnya di Pulau Pinang. Yang lebih luar biasa adalah kenyataan kasar oleh Jabatan Peguam Negara terhadap saya.

Timbalan pendakwa raya (TPR) utama Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata dengan angkuh tentang keyakinan peluang 99% akan menang sabitan pertuduhan, dan bahawa dua pertuduhan baru itu adalah ibu kepada semua pertuduhan. Ini bukan ibu kepada semua pertuduhan. Sebaliknya, ia adalah ibu kepada segala pembohongan PN bahawa “ini semua salah Lim Guan Eng”.

Kenyataan TPR tersebut mengenai peluang 99% sabitan adalah tidak wajar dan bahkan seakan telah menghukum saya sebelum perbicaraan, bahawa saya sudah bersalah. Ramai yang berkata bahawa kenyataan-kenyataan awam TPR tersebut adalah bahaya, dan boleh menghancurkan reputasi seseorang serta menjejaskan hak saya untuk menerima perbicaraan yang adil.

2 pertuduhan terbaru pada hari Jumaat yang lalu bahawa saya telah menyalahgunakan harta kerajaan berjumlah RM208 juta adalah tidak berasas dan tidak logik kerana saya tidak mengambil sebarang faedah. Tanah yang dinilaikan pada RM208 juta adalah bayaran dalam bentuk pertukaran tanah yang berdasarkan perjanjian antara kerajaan negeri dan kontraktor.

Tambahan pula, tanah tersebut dipindah milik hanya setelah keputusan akhir oleh EXCO. Sekiranya saya didakwa, adakah ini akan menjurus kepada kesimpulan yang tidak masuk akal bahawa semua anggota EXCO atau seluruh kerajaan negeri dengan 10,000 orang staffnya juga akan didakwa?