Skip to content

Sebuah kerajaan yang tidak layak mendapat mandat rakyat dengan pembuatan keputusan yang mengelirukan, dasar yang berubah-ubah dan kehilangan heyakinan pelabur

Pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam bahawa Kabinet telah memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik untuk lebih sembilan juta pengguna domestik datang selepas Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan mengumumkan bahawa tarif baharu untuk 2022-2024 berkemungkinan akan dilaksanakan pada 1 Februari. Takiyuddin telah berkata bahawa keputusan mengenai kenaikan tarif kuasa telah dimuktamadkan pada hari Rabu selepas dibincangkan enam kali dalam mesyuarat Kabinet.

Memandangkan negara masih dilanda kemelesetan ekonomi dan pandemik COVID-19, Ismail tidak mempunyai pilihan selain tunduk kepada tekanan orang ramai, dengan membekukan kenaikan tarif elektrik serta meneruskan subsidi bernilai lebih RM700 juta untuk pengguna domestik. Ini jelas menunjukkan sebuah kerajaan yang tidak layak mendapat mandat rakyat dengan pembuatan keputusan yang mengelirukan, dasar yang berubah-ubah dan kehilangan keyakinan pelabur.

Sekali lagi, Kerajaan Persekutuan tidak belajar daripada kegagalan besar “total lockdown” bersiri, pusingan U SOP COVID-19, penguatkuasaan secara dua darjat dan dasar yang berubah-ubah yang telah mengakibatkan hampir 32,000 nyawa terkorban, 2.9 juta kes jangkitan dan kerugian ekonomi lebih RM500 bilion. Satu lagi contoh dasar yang berubah-ubah baru-baru ini ialah oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali yang bermegah bahawa Malaysia adalah negara paling menarik di Asia Tenggara untuk pelaburan asing pada 2022 dengan bergantung kepada badan pemikir yang kurang dikenali, iaitu Milken Institute.

Ini bercanggah dengan pengumuman bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa lebih banyak perlu dilakukan untuk menjadikan Malaysia lebih menarik dan berdaya saing dengan negara jiran kita. Azmin nampaknya membayangkan bahawa menjadi destinasi pelaburan paling menarik di Asia Tenggara akan membolehkan Malaysia merekodkan pelaburan tertinggi di ASEAN.

Azmin sepatutnya melakukan pendedahan penuh dengan mendedahkan bahawa Milken Institute tidak memasukkan Singapura dalam kajian mereka, walaupun Singapura adalah negara anggota ASEAN dan secara geografinya terletak di Asia Tenggara. Analisis lebih terperinci tentang kaji selidik oleh Milken Institute akan dijalankan dan diumumkan selepas Tahun Baru Cina oleh pemimpin DAP.

Saya tidak mahu melihat Azmin bersilat lidah lagi nanti apabila Malaysia gagal mencatat pelaburan lebih tinggi daripada Indonesia, Thailand, Singapura dan juga Vietnam pada 2022. Pada 2020, Malaysia mencatatkan USD$3 bilion dalam Pelaburan Langsung Asing (FDI) berbanding FDI bagi Singapura sebanyak USD$91 bilion, Indonesia USD$19 bilion, Vietnam USD$16 bilion, malah Kemboja mempunyai FDI yang lebih tinggi daripada Malaysia iaitu USD $3.6 bilion. Apakah yang akan dilakukan oleh Azmin jika Malaysia gagal mengatasi semua negara ini pada 2022?