Skip to content

Sebuah negara Malaysia yang sederhana

Selama beberapa hari ini, terlalu banyak yang diperkatakan mengenai tindakan saya yang memakai selendang menutupi kepala saya ketika melawat sebuah masjid di Segambut. Walaupun hanya sebilangan kecil yang mengkritik tindakan tersebut, namun lebih ramai lagi yang menunjukkan sokongan kepada saya. Saya membuat kenyataan media ini untuk menjelaskan kepada mereka di luar sana akan kepentingan menutupi kepala di tempat ibadat. Selain masjid, beberapa tempat ibadat lain juga memerlukan kedua-dua lelaki dan wanita untuk menutupi kepala mereka sebagai contoh di gurdwara. Sesetangah gereja juga begitu. Perbuatan menutupi kepala di hadapan mereka yang dihormati adalah sebagai tanda hormat kepada mereka. Ia juga adab kesopanan. Perbuatan ini juga diamalkan apabila kita menziarahi kematian. Sepanjang saya menjadi wakil rakyat selama 13 tahun di kawasan berbilang kaum dan agama seperti di Segambut dan Subang Jaya, saya sentiasa memberikan penghormatan seperti ini semasa saya turun ke kawasan saya. Saya akan terus melakukannya walaupun berhadapan dengan segelintir suara yang melampau di tanah air sendiri.

Kita perlu mempertahankan dan berjuang untuk Malaysia yang sederhana. Sebuah negara Malaysia yang bukan untuk saya seorang sahaja tetapi untuk orang lain juga. Hormati mereka yang berada di sekeliling anda dan terapkan nilai kebaikan ini kepada jiran-jiran anda. Sikap mementingkan diri sendiri hanyalah resipi untuk bencana yang lebih besar. Sampaikan suara rakyat Malaysia yang sederhana supaya ianya bergema kuat di tempat kerja, kawasan kejiranan, ketika pertemuaan bersama keluarga, tempat ibadat dan melalui media sosial kita. Menutupi kepala ketika saya di dalam masjid tidak akan mengubah bangsa dan agama saya. Ia hanya menguatkan lagi keyakinan saya dalam menegakkan salah satu daripada 2 perintah terbesar dalam Alkitab yang terdapat dalam buku Matthew 22: 36-40 [“Guru, perintah manakah yang terutama dalam Taurat?” Yesus menjawab,” ‘Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu dan dengan sepenuh fikiranmu.’ Inilah perintah yang terutama dan terpenting. Perintah kedua sama pentingnya: ‘Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’ Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan dua perintah ini.”] – AVB – Alkitab Visi Borneo

Saya akan terus memakai selendang dengan sewajarnya.