Seperti selalu, Perhimpunan Agung UMNO akan menjadi medan untuk menghentam dan menyalahkan kaum lain atas kelemahan UMNO. Seolah-olah itulah agenda utama mesyuarat UMNO di peringkat pusat.
Dalam ucapan beliau yang dilaporkan oleh laman berita Malaysiakini, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata:
“Tetapi, kenapa pula masih ada mereka yang tidak menghormati perjanjian yang sama.”
Kenyataan ini merujuk kepada dakwaan beliau bahawa kaum bukan Melayu tidak menghormati perjanjian kemerdekaan. Beliau turut kemudiannya menambah:
“Kenapa ada yang minta dihapus kedudukan istimewa orang Melayu, ada yang mempertikaikan kedaulatan Raja-Raja Melayu, ada yang tak faham Bahasa Kebangsaan.”
Pemuda DAPSY Kebangsaan memandang serius dakwaan beliau ini kerana setahu kami belum pernah ada mana-mana pihak yang menjadikan semua perkara yang didakwa Khairy ini sebagai perjuangan mereka.
Jika benar dakwaan itu, beliau seharusnya menyatakan dengan jelas siapakah pihak tersebut. Adalah amat memalukan jika beliau dengan mudah membuat dakwaan secara pukal kepada mana-mana pihak, hanya kerana mahu dilihat sebagai seorang Hero Melayu.
Seandainya yang dimaksudkannya sebagai ‘mempertikai’ itu sama dengan ‘tidak menghormati perjanjian’, maka beliau wajib kembali ke bangku sekolah.
Apa jua isu yang berkaitan dengan apa-apa persoalan atau pertikaian, seharusnya tidak dianggap sebagai ‘tidak menghormati’ mana-mana pihak. Adalah lumrah bagi sesiapa pun untuk mempunyai perbezaan pendapat dan ia tidak harus dianggap sebagai sesuatu yang melanggar prinsip keadilan dan perlembagaan apatah lagi dilihat sebagai suatu ancaman.
Pemuda DAPSY menjunjung dan menghormati prinsip keadilan dan juga Perlembagaan Persekutuan sebagai asas pembentukan Malaysia. Kami tidak pernah menyalahkan mana-mana kaum atas apa jua masalah baik hal ekonomi, sosio budaya, politik mahupun agama. Yang kita persalahkan adalah sistem dan mereka yang mendukung sistem yang korup.
Seharusnya Khairy terlebih dahulu menghormati perjanjian di antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri Sabah dan Sarawak dalam aspek pembangunan ekonomi dan sosial. Negeri-negeri ini seharusnya dilayan dengan adil dan penuh hormat. Namun sehingga kini, kedua-dua negeri yang kaya sumber alam ini tetapi lebih miskin berbanding negeri-negeri lain.
Saya juga tertanya-tanya, apakah reaksi Pemuda Komponen BN samada MCA, MIC dan Gerakan berhubung kenyataan Khairy Jamaludin ini. Mungkin mereka tidak mampu berbuat-buat apa-apa kerana mereka hanya akan tunduk dan mengikut telunjuk UMNO.
Beliau seharusnya rasional. Tidak molek bagi Khairy untuk menjadi jaguh seakan-akan Shariff Dol samseng Kampung Dusun yang hanya tahu bertempik dan mencari salah pihak lain. Jika begini sikap dan mentaliti Ketua Pemuda Umno, tidak hairan kenapa berduyun-duyun anak muda Melayu menyertai DAP.