Skip to content

Sedarlah Rahman Dahlan! Naratif jahat sepertimana yang cuba anda mainkan bakal menjadi senjata makan tuan buat UMNO BN untuk PRU kali ini

Serangan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Abdul Rahman Dahlan keatas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin agar menamakan MP Gelang Patah Lim Kit Siang sebagai calon Perdana Menteri Malaysia tidak lain dan tidak bukan hanyalah menzahirkan naratif jahat UMNO BN yang cuba dimainkan untuk menutup kelemahan kerajaan sedia ada UMNO BN. Rujuk http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/04/10/rahman-challenges-muhyiddin-to-let-kit-siang-be-next-pm/

Apakah cabaran Rahman Dahlan bermaksud, beliau menyeru rakyat untuk tidak menyokong agenda mereformasi urustadbir negara dengan sekadar berasaskan cerita tahyul kononnya Lim Kit Siang bakal Perdana Menteri Malaysia?

Soalan seterusnya, apakah Rahman Dahlan bermaksud menyeru rakyat agar terus menyokong kepimpinan kleptokrasi Najib? Apakah beliau mahu menyeru rakyat agar terus menyokong cukai GST yang membebankan rakyat, menghalalkan skandal mega serta rasuah yang mencalarkan imej Malaysia seperti 1MDB?

Apakah beliau mahu nyatakan ‘tidak mengapa’ kepada harga barangan yang terus melambung tinggi sedangkan kos sara hidup rakyat semakin menekan?

Sikap Rahman Dahlan mengacah-acah sentimen rakyat dengan cabaran yang diajukan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lebih sekadar propaganda yang telah didendangkan sejak sekian lama bagi menutup kegagalan mereka mengurus tadbir Malaysia sehingga negara kini dikenal dimata dunia dengan jolokan kleptokrasi.

Apakah label-label jahat yang tidak pernah dipalitkan kepada Lim Kit Siang dan DAP? Komunis, tali barut Singapura dan sebagainya… semua ini hanyalah bertujuan mengalih perhatian rakyat terhadap isu sebenar yang sedang kita hadapi.

Reputasi Malaysia kian merudum dibawah Najib, ekonomi mahupun sosial. Kesenjangan ekonomi dan kuasa beli rakyat kian parah. Serangan Rahman Dahlan tidak akan membantu apa-apa dalam memulihkan ekonomi rakyat dan imej Malaysia dimata dunia.

Bahkan jika Rahman Dahlan berjaya dengan propaganda jahat sebegini sekalipun, ia tidak lebih sekadar untuk mengekalkan Malaysia dibawah pimpinan kleptokrat sedangkan rakyat berterusan menjadi mangsa kemungkaran UMNO dan BN.

Pada satu sisi yang lain, serangan Rahman Dahlan hanyalah membuktikan ketakutan yang menyelubungi UMNO BN menjelang PRU ke 14. Rahman Dahlan sedar bahawa pakatan Harapan yang kini turut disertai PPBM menjadi ancaman besar kepada survival UMNO BN.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Mahathir Mohamad adalah dua tokoh besar yang pernah berada dalam UMNO. Kini, kedua-duanya menjadi elemen pelengkap kekuatan Pakatan Harapan untuk menumbangkan UMNO BN.

Justeru seperti biasa, serangan bersifat perkauman sempit menjadi senjata terakhir UMNO BN setiap kali menjelang pilihan raya. Pun begitu, saya optimis dengan kebijaksanaan rakyat yang tidak mudah diperbodoh dan diugut sebegini.

Saya ingin mengingatkan Rahman Dahlan. Beliau perlu sedar faktor-faktor lain yang sukar dibolosi UMNO pusingan kali ini seperti peranan dan gerak kerja pemimpin-pemimpin peringkat negeri, bahagian dan akar umbi UMNO yang telah beralih menyertai PPBM.

Pada masa sama, Pakatan Harapan akan tetap konsisten mengangkat isu-isu sebenar membelenggu rakyat seperti ketirisan dalam urustadbir negara dan polisi tempang yang memangsakan rakyat.

Sedarlah Rahman Dahlan! Naratif jahat sepertimana yang cuba anda mainkan bakal menjadi senjata makan tuan buat UMNO BN untuk PRU kali ini.