Skip to content

Segerakan penggubalan Akta Anti Lompat Parti jika Parlimen dibuka semula

Perkara yang terpenting dan perlu disegerakan jika parlimen dibuka semula adalah meluluskan akta anti lompat parti dengan sokongan bersepadu daripada pemimpin barisan pemerintah dan pembangkang seperti mana persefahaman dalam meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun pada tahun tersebut.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin telah memberi jaminan bahawa, pilihan raya umum akan diadakan secepat mungkin selepas tamat darurat, supaya mandat daripada pengundi dapat diberikan kepada wakil rakyat yang mereka sanjungi, dan pengundi juga dapat memilih wakil rakyat yang mereka sukai.

Ramai pemimpin politik sama ada daripada barisan pemerintah mahupun pembangkang juga menyokong penggubalan akta anti lompat parti, akibat situasi lompat parti yang serius di negara kita dan telah membawa kerosakan yang dahsyat ke atas sistem demokrasi berperwakilan ala Westminster.

Malahan, ini telah menyebabkan keyakinan pengundi terhadap sistem politik negara terjejas.

Justeru itu, akta anti lompat parti harus diluluskan sebelum PRU 15 yang akan datang demi merefleksi dan melaksanakan kesediaan pengundi demi menolak kejadian anti lompat parti wakil rakyat.

Akta anti lompat parti akan menyebabkan kerusi yang terlibat dengan lompat parti dikosongkan dan pilihan raya kecil akan diadakan, di mana wakil rakyat yang lompat parti akan kehilangan “nilai kegunaan politik”nya secara serta-merta.

Ini merupakan kaedah yang paling berkesan untuk mencegah lompat parti akibat rasuah jawatan agar mandat dan hak pengundi dapat dipertahankan.