Isu mengenai TASKA dan TADIKA yang memberi kesan besar terutama sekali kepada ibu-bapa serta pengusaha dan pengasuh telah banyak dibangkitkan di dalam persidangan Parlimen yang lepas, namun tidak dijawab oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Menteri Pendidikan mahupun Timbalan mereka. Malah sehingga memasuki Januari 2021, semua Jawapan Bertulis yang dijanjikan mereka juga langsung tidak kelihatan.
Menteri KPWKM diingatkan supaya mengambil tindakan berterusan untuk menyelesaikan isu seperti permohonan dual licensing bagi pengusaha yang memiliki kedua-dua TASKA dan TADIKA (yang telah pun dimulakan perbincangan dan penyelesaian semasa pentadbiran Kerajaan HARAPAN), Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA (KAP) serta pemberian geran ‘one off’ bernilai RM5,000 menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Saya percaya semua isu tersebut dapat diselesaikan jika Menteri mendapatkan pandangan daripada pemegang taruh yang benar-benar memahami isu ini.
Lalu timbul persoalan, adakah Menteri KPWKM ataupun Timbalannya telah mengadakan pertemuan dengan dua (2) buah badan induk terbesar iaitu Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) dan Early Childhood Care & Education (ECCE) bagi membincangkan isu-isu ini? Pertemuan tersebut bukan sahaja boleh membincangkan isu pengusaha TASKA dan pengasuh yang hilang punca pendapatan, malah yang lebih penting, ia dapat memperhalusi isu keselamatan kanak-kanak dan mencari jalan keluar kepada ibu-bapa muda yang terpaksa bergilir mengambil cuti atau berhenti kerja untuk menjaga anak-anak mereka akibat penutupan TASKA. Mereka inilah antara kumpulan terbesar yang terjejas teruk kesan daripada pandemik Covid-19 dan perlaksanaan PKP.
PPBM dan ECCE sepatutnya diangkat menjadi mata serta telinga KPWKM bagi mendapatkan maklumat terkini dan data yang tepat sebelum KPWKM membuat perancangan dan melaksanakan sebarang polisi yang akan memberi kesan kepada pengusaha TASKA, pengasuh serta para ibu-bapa muda dan anak-anak mereka.
Justeru, saya mencadangkan Menteri KPWKM ataupun Timbalannya segera bertemu dengan PPBM dan ECCE untuk membincangkan isu-isu yang memberi kesan besar terhadap institusi pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak, ibu-bapa muda dan juga anak-anak mereka. Saya percaya pertemuan dengan PPBM dan ECCE boleh diadakan tanpa sebarang alasan kerana Menteri KPWKM atau Timbalannya boleh sahaja muncul dalam rancangan bual bicara di kaca televisyen atau bertemu pihak korporat semasa tempoh PKPP ini.
Semasa di Putrajaya, saya sentiasa memperuntukan masa bertemu dan mendapatkan pandangan daripada kedua-dua badan terbesar ini kerana mereka begitu berpengalaman dan lebih memahami isu-isu ini. Menteri Rina Mohd Harun (Parti Bersatu) dan Menteri Dr. Mohd Radzi Md Jidin (Parti Bersatu) perlu lebih mendengar, lebih cekap dan lebih proaktif jika mahu memegang portfolio penting seperti KPWKM dan Kementerian Pendidikan – ini kerana masa depan anak-anak kita yang sedang dipertaruhkan.