3 hari lepas, Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab yang mendakwa bahawa, sebahagian besar pelaku rasuah di negara ini membabitkan orang bukan Islam dan bukan bumiputera yang telah merosakkan politik dan ekonomi negara. Tindakan lanjut dari pihak polis juga sudah digesa. Jelasnya, kenyataan seperti ini hanya menyemarakkan api perkauman dan tidak langsung menangani isu rasuah yang semakin berleluasa. Akan tetapi, sehingga hari ini tiada tindakan dikenakan ke atas Abdul Hadi Awang, terutamanya dari pihak polis. Sekiranya kenyataan yang dikeluarkan datang dari individu lain, sudah pasti individu terbabit ditangkap dan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
Sebagai seorang pemimpin politik, apa yang dilakukan oleh beliau adalah sangat tidak wajar. Esok, rakan sekerja saya dari parti DAP akan melaporkan kenyataannya kepada pihak polis memandangkan ini adalah isu yang menggugat keamanan dan keharmonian Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Sekiranya kita lihat dari sudut undang-undang juga, kenyataan Abdul Hadi Awang ini juga telah melanggar Seksyen 505 dan Seksyen 504 (c) Kanun Keseksaan. Mungkin juga dia sudah melanggar akta-akta berkait yang lain.
Agama seharusnya mengunjurkan hormat di antara satu sama lain. Sebagai sebuah parti politik di Malaysia, PAS perlu menunjukkan sifat kesama-rataan dan menentang mereka yang melakukan kemungkaran, sejajar dengan pendirian asal PAS. Namun, PAS yang kita lihat kini adalah penipuan dari kebencian.