Skip to content

Sekali lagi menyeru Dato Seri Saarani supaya memanggil satu sidang DUN tergempar dalam masa terdekat untuk membentang, membahas dan meluluskan rang undang-undang anti-lompat parti sebelum DUN Perak dibubarkan.

Semalam Menteri Besar Perak Dato Seri Saarani membuat kenyataan bahawa tiada keperluan mendesak untuk membentangkan Rang Undang-undang anti-lompat parti di DUN Perak memandangkan ia boleh dibentang dalam sidang-sidang selepas pilihanraya.

Saya ingin bertanya kepada Dato Seri Saarani, bagaimanakah akta anti-lompat parti boleh mencegah wakil rakyat Negeri Perak daripada melompat parti selepas pilihanraya ke-15 jika rang undang-undang anti lompat parti hanya akan dibentang selepas pilihanraya dan belum berkuatkuasa?

Kenyataan Dato Seri Saarani amat tidak bertanggungjawab dan membuktikan Barisan Nasional tidak yakin untuk memenangi Negeri Perak dengan majoriti mudah iaitu memenangi paling kurang 30 kerusi DUN pada pilihanraya ke-15.

Keengganan Dato Seri Saarani untuk memanggil sidang DUN tergempar untuk membentangkan rang undang-undang anti-lompat parti menunjukkan Barisan Nasional ingin membuka ruang untuk wakil rakyat melompat parti menyokong Barisan Nasional sekiranya jumlah kerusi BN tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan Negeri Perak pada Pilihanraya ke-15.

Rakyat Perak sudah jijik dengan perbuatan lompat parti yang menyebabkan Kerajaan Perak yang sah ditumbangkan 2 kali dalam 11 tahun.

Memandangkan Sultan Perak belum perkenan bubar DUN Perak, saya sekali lagi menyeru Dato Seri Saarani supaya memanggil satu sidang DUN tergempar dalam masa terdekat untuk membentang, membahas dan meluluskan rang undang-undang anti-lompat parti sebelum DUN Perak dibubarkan.

Rang undang-undang anti-lompat parti Negeri Perak wajib diluluskan sebelum PRU-15 untuk mengelak sebarang perbuatan lompat parti berlaku di Negeri Perak selepas pilihanraya.