Skip to content

Sekiranya ada Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan untuk menyiasat sama ada wujudnya seorang Tan Sri yang komunis, anti-Melayu, anti-Islam, dan mempromosikan Islamofobia, saya bersedia untuk memberikan kerjasama penuh

Bekas Presiden Aliran, P. Ramakrishnan mencadangkan supaya ditubuhkan satu suruhanjaya siasatan untuk menentukan sama ada wujudnya seorang Tan Sri yang komunis, anti-Melayu, anti-Islam, dan mempromosikan Islamofobia.

Saya bersetuju dengan Ramakrishnan dan saya bersedia untuk memberikan kerjasama penuh dengan suruhanjaya siasatan sebegini.

Ramakrishnan menulis:

“Semasa Lim Kit Siang merupakan seorang ahli politik biasa dari DAP, pelbagai tuduhan yang tidak dapat dibuktikan telah dilemparkan kepadanya. Tetapi tuduhan-tuduhan ini tidak memberikan impak kepadanya, baik sebagai seorang ahli politik ataupun individu.

“Tuduhan-tuduhan liar ini tidak memberikan kesan, seperti air dicurah ke daun keladi. Tuduhan-tuduhan ini tidak pernah melekat atau menjatuhkannya.

“Dalam politik, seseorang boleh bertindak secara cuai dan tidak bertanggungjawab dan melarikan diri dari kesannya. Kini, masanya sudah berbeza, Kit Siang bukan lagi berada dalam gelanggang kasar politik.

“Dia sekarang seorang Tan Sri, tuduhan-tuduhan jahat seperti ini tidak boleh dilemparkan terhadapnya, terutamanya apabila dia sudah bersara dari politik. Tidak patut, malah mungkin bersifat jahat untuk berbuat demikian. Tan Sri adalah anugerah kedua tertinggi peringkat persekutuan yang diberikan kepada seseorang rakyat Malaysia.

“Tidak semua orang akan dipertimbangkan untuk anugerah ini. Penerimanya perlulah dari kalangan seorang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat.”

Ramakrishnan mengatakan yang darjah Tan Sri ini tidak boleh dihina dan darjah ini patut ditarik semula sekiranya tuduhan-tuduhan ini dapat disahkan, dan sekiranya tuduhan-tuduhan ini palsu, “tindakan penuh dan tegas undang-undang perlulah diambil terhadap mereka yang membuat tuduhan-tuduhan ini”.

Ramakrishnan mengatakan: “Sekiranya saya boleh katakan, amatlah tidak patut untuk seorang bekas menteri untuk berseronok menternak nyamuk dan bukannya mengambil tindakan untuk membersihkan paya yang ada dengan membuat tuduhan-tuduhan sebegini untuk mencetuskan ketakutan dan kemarahan terhadap keseluruhan komuniti dalam negara kita yang tercinta ini.”