Saya ada terjatuh dua hari lepas dan lutut saya tercedera. Saya mengalami kesakitan dan telah ke hospital, di mana saya telah melalui prosedur semakan sinaran-x dan diberikan ubat tahan sakit.
Tetapi, saya berada di sini pada malam ini kerana enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini amatlah penting, bukan sahaja untuk enam negeri yang terlibat – Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu – tetapi lebih penting lagi, untuk negara Malaysia juga.
Kerajaan perpaduan Anwar tidak akan tumbang walau apa pun keputusan dari enam pilihan raya negeri ini pada 12 Ogos, tetapi pilihan raya ini akan menjadi satu referendum yang penting untuk menentukan sama ada Malaysia dapat diselamatkan untuk menjadi hebat sekali lagi – untuk melahirkan juara dunia, untuk mempunyai sekolah yang terbaik, universiti yang terbaik, hospital yang terbaik, untuk memenangi semula Piala Thomas, untuk cemerlang dalam sukan Olimpik dan Paralimpik. Seorang rakyat Malaysia telah pun memenangi anugerah Oscar. Bolehkah seorang rakyat Malaysia memenangi anugerah Nobel selepas ini?
Untuk melahirkan juara dunia, Malaysia perlu kembali semula kepada prinsip-prinsip asal pembinaan negara Malaysia majmuk yang telah diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn, yang juga merupakan Presiden UMNO) negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara untuk menyelamatkan negara kita dari nasib menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup.
Kita telah terpesong dari prinsip asal untuk membina sebuah Malaysia yang majmuk.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor telah mengatakan yang Malaysia telah menjadi Korea Utara di bawah kerajaan Madani.
Ini adalah perkara terakhir yang rakyat Malaysia mahukan.
Saya ingin bertanya kepada ahli-ahli PAS untuk melihat ke negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara, seperti Arab Saudi, UAE, Mesir, Iran, Iraq, Lubnan, Maghribi, dan Tunisia dan agenda-agenda reformasi yang berani di sana untuk memodenkan kawasan serantau, memajukan institusi sosial, dan memacu pemelbagaian ekonomi.
Majoriti besar orang di negara-negara ini menyokong agenda-agenda reformasi ini dan menolak ideologi pergerakan keagamaan yang dipolitikkan. Mereka memilih kerajaan yang pragmatik yang boleh mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda, menambah baik institusi keagamaan, dan meningkatkan perkhidmatan awam seperti kesihatan dan pendidikan.
Sekiranya ada kemenangan besar untuk kerajaan perpaduan Anwar dalam enam pilihan raya negeri ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim patut mempertimbangkan untuk menghantar perwakilan ke Arab Saudi untuk meminta Kerajaan Saudi membatalkan pengharaman ke atas Presiden PAS, Hadi Awang supaya Presiden PAS ini dapat memahami pertembungan di antara golongan Islamis yang berfikiran terbuka dengan mereka yang bersifat ekstremis di Timur Tengah.
Hadi adalah Duta Khas ke Timur Tengah untuk dua Perdana Menteri dari tahun 2020 hingga 2022, walaupun sehingga kini, bagaimana dia menjalankan tanggungjawabnya ini masih menjadi misteri memandangkan dia diharamkan dari menjejakkan kaki ke Arab Saudi dan beberapa negara lain di Timur Tengah.
Bekas Menteri Luar Negeri, Saifuddin Abdullah, telah mencipta gelombang apabila dia mengatakan yang Perikatan Nasional (PN) akan memastikan Selangor dibangunkan kepada potensi penuhnya sekiranya PN menang di Selangor dan membandingkan Selangor dengan Singapura, Taiwan, dan Hong Kong.
Bercakap di ceramah pra-pilihan raya di sini semalam, pemimpin Bersatu tersebut mengatakan yang Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari telah gagal untuk merealisasikan visi sebuah “negeri hebat”.
Adakah Saifuddin tahu apa yang dikatakannya ini?
KDNK per kapita di Singapura adalah antara yang tertinggi di dunia – ASD 67,360 manakala KDNK per kapita di Selangor adalah lebih rendah berbanding dengan Pulau Pinang, di paras RM59,908.
KDNK per kapita di Pulau Pinang adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding dengan Kelantan.
Kita mahu Kelantan menjadi seperti Pulau Pinang, bukannya untuk Pulau Pinang yang menjadi seperti Kelantan.
Enam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini adalah operasi Selamatkan Malaysia, bukan hanya untuk Pulau Pinang, tetapi juga untuk Malaysia.
Kerana inilah setiap undi itu penting.
Kita bukan sahaja perlu menang pada 12 Ogos, tetapi kita mahu menang besar supaya Malaysia dapat diselamatkan.