Skip to content

Sekiranya MAS tidak mengalami kerugian besar berjumlah RM4.1 bilion, maka penerima BR1M dapat menikmati RM1,200 sebagaimana dijanjikan dalam Manifesto PRU13 BN

Sekiranya Malaysia Airlines (MAS) tidak mengalami kerugian besar berjumlah RM4.1 bilion dalam tempoh 3 tahun yang lalu, maka penerima BR1M dapat menikmati RM1,200 seperti yang dijanjikan di bawah Manifesto PRU13 BN, dan bukannya dikurangkan kepada RM650 sebagaimana kini. MAS mengalami kerugian sebanyak RM1.17 bilion tahun lepas, RM433 juta pada tahun 2012 dan RM2.5 bilion pada tahun 2011. Kerugian tiga tahun ini yang berjumlah RM4.1 bilion hampir mencukupi untuk menampung perbezaan RM650 (yang berjumlah RM4.5 billion) yang diperlukan untuk menaikkan bayaran BR1M kepada RM1,200.

Langsung tidak ada rasa krisis atau pelan pemulihan yang dilaksanakan MAS untuk mengekang kerugian kewangan berterusan ini. Walaupun MAS mungkin berfikir bahawa kerugian ini mampan kerana MAS masih mempunyai baki tunai sebanyak RM3.9 bilion pada akhir tahun lepas, adalah sangat tidak bertanggungjawab dan berbahaya untuk meneruskan “perniagaan seperti biasa”. Khazanah, iaitu pemilik MAS, mesti mendapatkan penyelesaian tuntas dengan menerima hakikat bahawa MAS tidak berdaya maju dengan struktur kos semasa.

Singapore Business Times telah pun mencadangkan MAS diisytiharkan muflis bagi membenarkan permulaan baru yang diperlukan untuk memulihkan semula syarikat penerbangan yang bermasalah ini kerana MAS buntu dalam menyelesaikan masalah lebihan kakitangan dan “kontrak perolehan berat sebelah” dalam hal penyelenggaraan sehingga ke katering makanan. Tiada siapa yang terkejut bahawa kronisme dan tipu muslihat adalah salah satu punca utama MAS terus merosot.

DAP tidak bersetuju dengan cadangan mengisytiharkan MAS muflis, kerana bukan sahaja memalukan tetapi memberi kesan buruk ke atas pekerja MAS. Walau bagaimanapun, Khazanah mesti menyediakan satu pelan konkrit untuk menyelamatkan MAS, termasuk melaksanakan tender terbuka kompetitif yang menjadi amalan antarabangsa dan penilaian berasaskan prestasi untuk semua pekerja, termasuk pengurusan tertinggi.

Walaupun dengan subsidi dan geran berpuluh-puluh bilion yang diberikan oleh pembayar cukai Malaysia, MAS telah menunjukkan bahawa syarikat tersebut tidak boleh bersaing dengan Air Asia, yang merupakan kejayaan luar biasa keusahawanan Malaysia walaupun tidak mendapat satu sen pun daripada pembayar cukai Malaysia. Tambahan pula, syarikat tambang murah baru Malindo Air hanya akan memburukkan lagi prestasi MAS.

Kementerian Pengangkutan nampaknya tidak berusaha menjalankan projek-projek infrastruktur secara kos efektif, sepertimana yang dibuktikan dengan peningkatan limpahan kos dan kelewatan dalam projek KLIA2. Daripada bajet awal sebanyak RM1.6 bilion, kos KLIA2 telah melonjak kepada RM4 bilion dan mengalami kelewatan 3 tahun serta melanggar tarikh akhir sebanyak 3 kali. Keselamatan awam digunakan sebagai alasan bagi kelewatan ini.

Masanya telah tiba untuk Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn mengenepikan ego demi kepentingan negara dengan bekerjasama dengan pengasas Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes. Jika Hishamuddin enggan menerima kepakaran Tony Fernandes, yang dengan tajam mengingatkan bahawa Terminal Penerbangan Kos Rendah di Sepang hanya bernilai RM250 juta berbanding KLIA2 yang kini mencecah RM4 billion, maka negara kita yang akan rugi.