Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa telah menambah kekeliruan mengenai status 6 Ordinan Darurat dengan menyatakan bahawa pembatalan sedang dalam proses, bertentangan dengan Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan yang telah mengumumkan pembatalannya. Tidak hairanlah Malaysia menuju ke arah sebuah kerajaan gagal ketika Menteri-Menteri yang menghadiri mesyuarat Kabinet yang sama tidak konsisten dan berbicara dengan skrip yang sama mengenai perkara yang begitu penting.
Pengumuman tiba-tiba dan tergesa-gesa oleh Kerajaan PN di Parlimen mengenai pembatalan 6 Ordinan Darurat secara undur tarikh telah menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat, bukan sahaja terhadap keabsahan undang-undang kompaun dan denda yang dikeluarkan tetapi juga pembelian vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (PICK). PN telah bergantung pada Ordinan Darurat untuk meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN), tanpa kelulusan Parlimen, bagi membolehkan kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk pembelian vaksin.
Tanpa menggunakan kuasa darurat untuk meminda Akta KWAN, kerajaan tidak dapat menggunakan wang daripada dana yang ditubuhkan sebagai tabung pelaburan masa depan negara. KWAN kini memegang sejumlah RM19.5 bilion pada 31 Disember 2020, merangkumi sumbangan bernilai RM10.4 bilion daripada Petronas dan RM9.1 bilion daripada pulangan pelaburan.
Sehingga hari ini, kerajaan belum mendedahkan berapa jumlah dana daripada jumlah RM5 bilion diperuntukkan daripada KWAN yang telah digunakan untuk pembelian vaksin. Nampak seperti jumlah penuh RM5 bilion masih belum dikeluarkan daripada KWAN. Sebagai salah satu pemegang amanah, Bank Negara perlu mendedahkan berapa banyak yang telah digunakan sejauh ini daripada KWAN untuk perolehan vaksin demi kepentingan ketelusan dan akauntabiliti awam.
Sekiranya Ordinan Darurat yang meminda Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi memperuntukkan RM5 bilion untuk pembelian vaksin dibatalkan pada 21 Julai, adakah Kerajaan Persekutuan akan mempunyai dana yang mencukupi untuk menyelesaikan pembelian vaksin. Pembatalan Ordinan Darurat mungkin mengakibatkan kerajaan perlu mencari sumber dana lain bagi menampung sebarang kekurangan daripada jumlah RM5 bilion tersebut.
Kekeliruan ini merupakan bukti kegagalan keseluruhan kerajaan dalam menyalahgunakan Darurat, kononnya untuk mengawal gelombang ke-3 jangkitan dan kematian COVID-19 sedangkan ia digunakan bagi mengekalkan kuasa politik, serta kegagalan dalam pentadbiran awam, baik daripada segi pentadbiran dalam menguatkuasakan sekatan PKP dengan adil atau perbelanjaan kerajaan. PN tidak mempunyai sebarang idea yang berguna tentang bagaimana menghentikan kemusnahan nyawa dan mata pencarian di mana rekod tertinggi jangkitan dan kematian telah menyebabkan kesan buruk kepada rakyat yang tidak dapat bekerja atau meneruskan operasi perniagaan mereka bagi mencari rezeki.