Skip to content

Sekiranya PN serius ingin menyelamatkan Malaysia daripada krisis kesihatan dan ekonomi paling dahsyat dalam sejarah, lantik pakar bidang berkenaan ke Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang tidak mempunyai hubungan politik dan tidak terkait dengan legasi kerajaan sebelum ini

Ketika Kerajaan PN nampak begitu lemah dan tidak berdaya untuk mengawal pandemik COVID-19, negara ini sedang menghadapi krisis ekonomi yang semakin teruk di luar kawalan. Lonjakan jangkitan harian COVID-19 yang mencapai rekod tertinggi 15,573 kes pada 23 Julai, dengan jangkitan kumulatif 980,491 adalah petanda bahawa keadaan akan bertambah buruk sebelum menjadi lebih baik.

Menjelang hari Ahad esok, Malaysia akan mencipta nama sebagai ahli kelab negara-negara dengan sejuta kes COVID-19. Ada keperluan untuk pemikiran baharu dan bukannya kedegilan atau pemikiran kumpulan “group think”, di mana kerajaan tidak lagi dapat berpegang kepada langkah dan pendekatan untuk memerangi COVID-19 yang tidak berkesan atau tidak efektif. Seperti yang dikatakan oleh Albert Einstein, “Kegilaan melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza”. Kepakaran profesional perlu mengatasi politik kepartian terutama dalam penguatkuasaan bagi mengelakkan berlakunya amalan dua darjat antara Menteri dan rakyat.

Turut membimbangkan adalah keadaan ekonomi kita yang teruk, dengan pertumbuhan tidak bermaya yang dijangkakan tahun ini berbeza dengan unjuran KDNK yang terlalu optimistik pada 7.5% sebelum ini oleh Kerajaan PN. Hakikat bahawa Malaysia akan terperangkap dalam keadaan kemelesetan ekonomi terbukti ketika saya mengedarkan bakul makanan kepada orang miskin dan yang memerlukan, di mana ramai penerima terdiri daripada mereka yang tidak pernah meminta bantuan sebelum ini. Rakyat lebih mahukan pekerjaan berbanding bakul makanan atau dibenarkan bekerja atau menjalankan perniagaan mereka supaya mereka dapat memperoleh pendapatan untuk menampung perbelanjaan harian.

Setelah gagal secara menyeluruh sebelum ini, Kerajaan PN kini menubuhkan MPN yang melibatkan pakar bidang yang berkenaan, profesional, perwakilan industri dan parti pembangkang. DAP belum menerima sebarang pemberitahuan rasmi dan akan mempertimbangkan penyertaan kami setelah menerima dan mengkaji terma rujukan. Sekiranya kerajaan bersungguh-sungguh dan komited untuk menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang paling dahsyat dalam sejarah, maka pakar bidang yang berkenaan di dalam NRC tidak boleh mempunyai hubungan politik atau terkait dengan legasi kerajaan sebelum ini. Sudah ada perwakilan politik yang cukup daripada Menteri-Menteri Kerajaan dan parti-parti pembangkang.

Pakar-pakar bidang yang berkenaan di dalam MPN ini bukan sahaja perlu memiliki latar belakang profesional tetapi juga mempunyai keberanian untuk bercakap benar kepada pemerintah. Beberapa orang kononnya pakar bidang berkenaan yang dilantik jelas tidak memenuhi syarat ketika mereka sama ada membenarkan atau mendiamkan diri terhadap skandal kewangan terbesar dalam sejarah, iaitu skandal 1MDB berjumlah RM52 bilion.

Salah seorang anggota MPN iaitu Wong Chun Wai adalah Penasihat dan bekas Ketua Pengarang The Star, yang dimiliki oleh MCA. Chun Wai secara semula jadinya adalah jurucakap bagi MCA. Tetapi Chun Wai juga secara agresif mempromosikan Jho Low yang terkenal dengan reputasi di sebalik 1MDB ketika Chun Wai menemubual dan menerbitkan artikel berkenaan Jho Low di dalam The Star pada 29 Julai 2010. Ketika kesalahan kewangan dalam 1MDB telah didedahkan, baik The Star dan Chun Wai tidak menawarkan apa-apa kekesalan atau menyiasat urus niaga yang boleh dipersoalkan, tidak seperti akhbar The Edge. DAP mencadangkan agar Tan Sri Yong Poh Kon, Pengerusi Royal Selangor Pewter, dengan latar belakang dan kepakaran yang terbukti, akan menjadi pengganti Wong Chun Wai yang lebih layak.

Bagi Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamad Azmin Ali untuk duduk bersama mantan Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah Nasional, Azman Mokhtar di MPN adalah ironis kerana Azmin paling agresif menyerang pengurusan Azman semasa di Khazanah. Azmin mendedahkan di Parlimen pada 2018 bahawa Khazanah kerugian AS$ 20 juta dalam peruncit pakaian dalam di India dan pelaburan RM3 billon melalui ekuiti persendirian untuk mengambil alih bank telah bankrap. Sekiranya Azman Mokhtar sekarang dilantik, bukankah ini merupakan tamparan memalukan kepada Azmin yang tidak seharusnya duduk di dalam MPN jika dia seorang yang bermaruah?

Pakar-pakar bidang berkenaan lain yang perlu dipertimbangkan untuk MPN adalah pakar ekonomi terkemuka Dr Jomo Kwame Sundaram, dengan penekanan terhadap orang miskin dan yang kurang bernasib baik daripada segi sosial. Selain itu, pakar bedah kardiotorasik terkenal Tan Sri Yahya bin Awang, dapat menawarkan perspektif perubatan yang berbeza mengenai jalan keluar daripada krisis kesihatan sekarang. “Iron Lady” Malaysia Tan Sri Rafidah Aziz juga perlu dipilih sebagai seorang yang tidak takut untuk bercakap benar kepada mereka yang berkuasa.