Sekiranya PN serius untuk mencapai sasaran 150,000 dos harian vaksin COVID-19 bagi memperoleh imuniti kelompok menjelang 31 Disember, 381 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ada perlu ditambah sebanyak 2,000 PPV lagi. Walaupun dengan sasaran harian 150,000 dos ditetapkan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, hanya 124,618 dan 133,804 dos vaksin Covid-19 diberikan di seluruh negara pada 11 dan 12 Jun 2021 masing-masing.
Setakat 11 Jun, sejumlah 1.30 juta rakyat Malaysia telah diberi vaksin sepenuhnya, sementara 1.63 juta orang hanya mendapat satu dos. Malaysia masih jauh lagi untuk mencapai imuniti kelompok 80% daripada 32.72 juta penduduk Malaysia, yang memerlukan 26.18 juta orang diberi vaksin. Bagi mencapai imuniti kelompok menjelang 31 Disember, Khairy telah menetapkan sasaran 150,000 dos harian pada bulan Jun, 200,000 dos harian pada bulan Julai dan 300,000 dos harian pada bulan Ogos.
Selain dari masalah bekalan vaksin yang tersedia, salah satu cabaran yang boleh menyebabkan kegagalan berulang dalam mencapai 150,000 dos harian yang disasarkan pada bulan Jun, 200,000 dos harian pada bulan Julai dan 300,000 dos harian pada bulan Ogos, adalah bilang kecil Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Bagaimana dengan hanya 381 PPV di seluruh negara kita dapat menjayakan vaksinasi untuk 26.18 juta rakyat Malaysia atau purata hampir 70,000 orang yang diproses oleh setiap PPV? Ini meletakkan beban yang terlalu tinggi kepada 381 PPV yang ada.
Perlu ada penambahan sekurang-kurangnya 2,000 PPV kepada 381 yang sedia ada di seluruh negara, supaya setiap PPV dapat memproses 10,000 orang menerima vaksin dengan cepat dan lancar dalam tempoh kritikal ini untuk mencapai imuniti kelompok. DAP mendesak Kerjaan PN untuk bertindak segera dengan mewartakan semua Klinik Kesihatan kerajaan dan klinik swasta yang sesuai sebagai PPV bagi memastikan vaksinasi tersedia, mudah diakses dan mampu dicapai oleh semua rakyat Malaysia, terutama di kawasan luar bandar.
Mengubah klinik kesihatan dan klinik swasta yang sesuai menjadi PPV juga akan membantu memperluas jangkauan dan akses vaksinasi ke kawasan luar bandar. Ramai yang tinggal di kawasan terpencil atau luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak menghadapi masalah logistik untuk pergi ke PPV yang terletak jauh dari rumah mereka.
Kerajaan PN tidak boleh gagal lagi dengan tidak memenuhi sasaran 150,000 dos vaksin harian pada bulan Jun. Sebelum ini, Kerajaan PN telah gagal mengekang dan mengawal virus COVID-19 walaupun telah melaksanakan Darurat pada 12 Januari, mengakibatkan jumlah tertinggi jangkitan dan kematian harian. Ini telah membuat rakyat Malaysia panik sehingga terdesak mencari vaksin untuk diri mereka dan orang yang mereka sayangi.
Kegagalan kedua adalah kelewatan dalam menempah perolehan vaksin diikuti dengan kelewatan penghantaran. Kerajaan PN tidak boleh gagal buat kali ketiga dengan melalaikan proses vaksinasi yang lancar dan cepat. Bukan hanya nyawa rakyat Malaysia yang dipertaruhkan, dan banyak nyawa mungkin dapat diselamatkan dengan ketibaan vaksin yang lebih awal, tetapi kemelesetan ekonomi juga dapat membunuh mata pencarian kewangan ramai lagi rakyat Malaysia.