Skip to content

Sekiranya saya salah mengenai Impian Malaysia, jadi Tun Razak juga salah dalam tahun 1970 ketika merangka Rukun Negara, dan Tun Mahathir Mohamad juga salah dalam merangka sembilan matlamat strategik Wawasan 2020 pada tahun 1990

Pihak Polis Malaysia sedang mencari saya atas kenyataan saya di Manchester kepada para pelajar Malaysia pada hari Rabu lepas, yang mengatakan Perlembagaan Malaysia, pada tahun 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 berserta dengan sembilan cabaran strategiknya, menjanjikan Impian Malaysia yang meraikan kepelbagaian etnik, agama, dan budaya dan bukannya membawa kepada suatu impian untuk mana-mana satu etnik sahaja.

Saya akan berjumpa pihak Polis selepas saya pulang dari Scotland, tetapi perkara ini telah membuat saya untuk membaca semula Rukun Negara dan sembilan cabaran strategik Wawasan 2020.

Rukun Negara berbunyi:

“BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:

  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;
  • Memelihara cara hidup demokratik;
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama;
  • Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dengan berbagai-bagai corak, dan
  • Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

“MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:

  1. KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
  2. KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
  3. KELUHURAN PERLEMBAGAAN
  4. KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
  5. KESOPANAN DAN KESUSILAAN”

Sembilan matlamat strategik Wawasan 2020 pula adalah:

  • Cabaran 1: Menubuhkan sebuah negara Malaysia yang dibentuk oleh satu bangsa Malaysia.
  • Cabaran 2: Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju.
  • Cabaran 3: Memupuk dan mewujudkan sebuah masyarakat demokratik yang matang.
  • Cabaran 4: Mewujudkan sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika.
  • Cabaran 5: Mewujudkan sebuah masyarakat yang liberal dan bertoleransi.
  • Cabaran 6: Mewujudkan sebuah masyarakat yang saintifik dan progresif.
  • Cabaran 7: Mewujudkan sebuah masyarakat yang penyayang.
  • Cabaran 8: Memastikan adanya sebuah masyarakat yang adil ekonominya, di mana ada pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama.
  • Cabaran 9: Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Sekiranya saya salah, maka Tun Razak juga salah pada tahun 1970 ketika merangka Rukun Negara, dan Tun Mahathir Mohamad juga salah pada tahun 1990 dalam merangka Wawasan 2020.