DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Barisan Nasional mendakwa pensyarah undang-undang Universiti Malaya yang juga bekas Timbalan Dekan Fakulti Undang-undangnya, Profesor Azmi Shahrom di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, berikutan kenyataannya mengenai krisis perlembagaan di Perak. Beliau didakwa ekoran sebuah rencana bertajuk “Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told” yang disiarkan portal Malay Mail Online pada 14 Ogos.
BN telah membuktikan bahawa ia bercakap dengan lidah bercabang apabila ia membuat janji palsu untuk memansuhkan Akta Hasutan sedangkan sebenarnya ia sedang cuba mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pendapat yang membangkang tidak kira dalam bentuk pertuduhan di bawah Akta Hasutan atau penangkapan beramai-ramai 156 anggota Pasukan Peronda Sukarela di Pulau Pinang sewaktu mereka berarak menyambut Hari Merdeka ke-57.
Wakil rakyat Pakatan Rakyat lain yang didakwa di bawah Akta Hasutan termasuklah Ahli Parlimen Padang Serai N. Surendran (PKR), Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Batu Tian Chua (PKR) dan Adun Seri Delima DAP R.S.N. Rayer. Naib Presiden PKR Rafizi Ramli didakwa mengancam keamanan berikutan komennya terhadap ahli Umno manakala bekas Menteri Besar Perak yang juga Adun Changkat Jering Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin didakwa di bawah kesalahan fitnah jenayah.
Apakah tujuan janji-janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Hasutan pada tahun 2012, yang kemudian diulangnya pada bulan Julai 2013 ketika diwawancara oleh British Broadcasting Corporation (BBC)? Penggunaan undang-undang menindas ini untuk membisukan kritikan tiada bezanya dengan ‘carpet-bombing’ sehinggakan ia kini melebar sehingga masyarakat sivil seperti seorang ahli akademik undang-undang tanpa perkaitan politik pun terjebak sama.
Sekiranya Azmi, seorang bekas Timbalan Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, iaitu fakulti undang-undang paling cemerlang di Malaysia, boleh didakwa menghasut kerana memberi pandangan akademiknya mengenai undang-undang; sudah tidak wujud lagi rasa hormat terhadap kedaulatan undang-undang di Malaysia. Di manakah lagi harapan untuk keadilan sekiranya pensyarah undang-undang pun boleh disumbat ke penjara kerana pendapat akademiknya? Malaysia akan menjadi bahan ketawa dunia, namun tragedi sedih yang sebenarnya ialah 28 juta rakyat Malaysia akan rugi kerana dinafikan pendakwaan yang adik dan tidak berat sebelah, yang memastikan hanya mereka yang salah didakwa dan bukan mereka yang tidak bersalah.