Memetik laporan Sin Chew Daily, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata bahawa sekolah yang disahkan mempunyai satu kes Covid-19 akan ditutup sekurang-kurangnya dua hari dan pelajar yang terjejas ekoran penutupan tersebut akan beralih ke pembelajaran dalam talian sehingga kelas fizikal disambung semula.
“Keputusan yang berkuatkuasa hari ini (21 Arpil) akan memberi kuasa kepada pihak sekolah untuk mengeluarkan notis memaklumkan ibu bapa mengenai penutupan sekolah apabila terdapat kes positif Covid-19,” kata Mah kepada Sin Chew pada Rabu.
Walaupun keputusan tersebut berkuatkuasa mulai semalam, tetapi setakat ini kami tidak nampak sebarang kenyataan media dari KPM atau arahan rasmi bagi Jabatan Pendidikan Negeri ataupun Pengetua dan Guru Besar yang menurunkan kuasa kepada mereka untuk tutup sekolah. Saya telah menerima sekurang-kurang 5 aduan di mana sekolah disahkan mempunyai kes Covid-19 semalam tetapi tiada arahan untuk menutup sekolah. Ibubapa sekolah tersebut masih terpaksa untuk menghantar anak mereka pergi ke sekolah. Apabila ditanya kenapa Guru Besar / Pengetua tidak mengeluarkan notis untuk menutup sekolah, jawapan mereka adalah mereka masih tidak terima apa-apa surat rasmi yang turun kuasa kepada mereka untuk menutup sekolah sekiranya terdapat kes Covid-19.
Keputusan ini mempunyai kesan yang besar dan penting. Jikalau KPM memang berniat untuk memberi kuasa kepada pihak sekolah untuk nenutup sekolah apabila terdapat kes positif Covid-19 mulai semalam, kenapa tiada kenyataan rasmi sekurang-kurangnya di Facebook KPM atau Menteri Pendidikan? Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Mah, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat menteri peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin semalam. Jadi kenapa tiada pengumuman rasmi setakat ini? KPM masih tidak sedar bahawa sebarang keputusan mereka akan memberi impak yang besar kepada 500 ribu guru dan 4.7 juta orang murid serta ibubapa mereka? Kenapa keputusan semalam hanya dimaklumkan kepada Sin Chew Daily melalui Timbalan Menteri Pendidikan Mah dan bukan kepada semua media? Media lain yang melaporkan keputusan ini, samada Sinar Harian, Astro Awani dan Malaysiakini semua memetik laporan Sin Chew Daily. Adakah ini komunikasi yang efektif?
Perancangan yang kurang memuaskan dan plan komunikasi yang gagal telah menimbulkan keresahan dan kegelisahan ibubapa. KPM perlu memberi SOP yang jelas untuk mengelakkan sebarang salah faham dan kebingungan.