Skip to content

Sektor pembinaan semakin uzur kerana ekonomi negara yang lembab

Sektor pembinaan adalah sangat penting untuk melihat pembangunan fizikal sesebuah negara. Sektor ini adalah penting untuk menyediakan infra-struktur dan kediaman untuk rakyat. Sektor ini juga menelan belanja yang besar samada dilaksanakan oleh kerajaan mahupun pihak swasta. Oleh yang demikian, dalam keadaan kegawatan ekonomi sesebuah negara, sektor pembinaan akan terbantut lebih awal lagi berbanding dengan sektor-sektor lain.

Apakah keadaan sebenar industri pembinaan negara kita sekarang? Mengikut Rancangan Malaysia Ke 11, industri pembinaan disasarkan untuk berkembang pada kadar 10.3% setahun dan menyumbangkan 5.5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang tahun 2020. Adakah sasaran ini realistik dan boleh dicapai oleh kerajaan dalam keadaan ekonomi yang lembab?

Pada suku tahun kedua 2016, dikatakan industri pembinaan telah berkembang pada 8.8% yang didorong oleh pertumbuhan subsektor kejuruteraan awam sebanyak 18.9% dan subsektor kediaman sebanyak 9.2%. Adakah angka-angka ini benar dan boleh dipercayai?

Pada masa ini, kebanyakkan pemain-pemain yang aktif dalam industri pembinaan berasa resah dan bimbang kerana mula merasakan cubitan kegawatan ekonomi. Memang tidak boleh dinafikan bahawa pada kebiasaannya antara industri yang paling awal sekali terjejas akibat keruntuhan ekonomi adalah industri pembinaan.

Ramai pemaju yang mengadu bahawa rumah-rumah yang mereka bina tidak dapat dijual. Pertumbuhan juga adalah lembab berikutan aktiviti pembinaan yang lebih perlahan dalam harta komersial seperti bangunan rumah kedai. Ini adalah kerana kemampuan rakyat untuk membeli harta seperti ini telah mula merosot. Pendapatan adalah statik manakala kos hidup semakin meningkat terutamanya disebabkan oleh GST.

Pemaju dan kontraktor juga menghadapi masalah kos yang tinggi kerana harga barang-barang pembinaan semakin meningkat. Keadaan ini juga bertambah buruk setelah GST mula dilaksanakan.

Isu pembuangan kerja dan pengangguran yang semakin meningkat juga menjejaskan industri pembinaan secara tidak langsung. Dijangka kadar pengangguran negara akan mencapai 3.5% pada tahun 2017 berbanding dengan 3.1% pada tahun 2016. Ini akan mengurangkan lagi jumlah rakyat yang mempunyai kuasa beli harta.

Selain itu , pihak institusi kewangan seperti bank juga agak rigit dalam meluluskan pinjaman kepada pembeli hartanah. Akibatnya, ramai pemohon gagal memperolehi pinjaman hartanah daripada bank. Ini menjadi satu lagi kekangan yang boleh menurunkan permintaan hartanah dan seterusnya menganggu keseimbangan pasaran akibat penawaran yang berlebihan.

Oleh yang demikian, saya melihat tahun-tahun yang akan datang sebagai cabaran yang tegang bagi industri pembinaan ini. Saya juga percaya kerajaan telah membuat penghitungan yang salah dalam sasaran Rancangan Malaysia Ke 11. Jika keadaan ekonomi berterusan seperti ini, sektor pembinaan akan menjadi lebih uzur dalam tempoh 5 tahun yang akan datang.