Kelapa Sawit merupakan pengeluaran pertanian yang terbanyak sekali dikenakan cukai oleh kerajaan manakala kerajaan memberikan banyak subsidi dan pertolongan untuk pengeluaran produk-produk pertanian yang lain.
Cukai-cukai yang dikenakan secara eksklusif ke atas industri sawit di Malaysia adalah seperti berikut:-
- Ses MPOB sebanyak RM14 se metrik tan (MT) masing-masing ke atas pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) dan minyak isirung sawit mentah (CPKO);
- Levi Keuntungan Luar Biasa ke atas pengeluaran buah tandan segar (BTS) – sebanyak 3 peratus bagi Semenanjung Malaysia dan 1.5 peratus bagi Sabah dan Sarawak apabila harga CPO masing-masing melebihi paras RM2,500 se MT dan RM3,000 se MT;
- Duti Eksport – duti eksport progresif ke atas produk CPO pada kadar 3 hingga 8 peratus apabila harga rujukan CPO mencecah paras RM2,250 se MT. Sementara itu, eksport CPKO dan minyak isirung sawit RBD (Refined Bleached Deodarised Palm Kernel Oil), masing-masing dikenakan duti sebanyak 10 peratus dan 5 peratus;
- Cukai Jualan – cukai ini dikenakan di Sabah dan Sarawak. Kerajaan Negeri mengenakan cukai jualan sebanyak 7.5 peratus ke atas jualan CPO di Sabah apabila harga CPO melebihi RM1,000 se MT, manakala, di Sarawak pula, cukai jualan ke atas CPO dan CPKO dikenakan pada kadar 2.5 peratus apabila harga CPO berada dalam julat dari RM1,000 hingga RM1,500 se MT. Kadar cukai CPO dan CPKO di Sarawak ditingkatkan kepada 5 peratus apabila harga CPO melebihi paras RM1,500 se MT.
Dulu, industri kelapa sawit boleh bertahan dengan berbagai cukai kerana kos pengeluarannya rendah dan harga jualannya tinggi. Apabila levi keuntungan luar biasa (windfall profit levi) dikenakan pada 1/7/2008 kos pengeluaran satu MT CPO adalah lebih kurang RM400 (atau RM80 untuk pengeluaran satu MT BTS) sahaja dan harga CPO masa itu adalah lebih kurang RM3,500 se MT (atau RM700 se MT BTS). Ambang untuk levi untung luar biasa ditetapkan pada RM2,000 se MT pada masa itu dan kadarnya ialah 15% di Semenanjung dan 7.5% di Sabah dan Sarawak. Dengan harga tersebut jika pengeluaran BTS adalah 0.8 MT seekar sebulan, pekebun kelapa sawit masih boleh mendapat keuntungan RM480 untuk satu ekar tanah! Jadi, pekebun tidak terasa dengan levi keuntungan luar biasa ini.
Akan tetapi kos pengeluar satu MT BTS hari ini sudah melonjak kepada RM250-RM300 se MT. Ini bermaksud jika harga CPO adalah RM1,500 se MT, pekebun kelapa sawit langsung tidak mendapat apa-apa keuntungan atau pendapatan. Jika harga sudah mencecah RM2,500 se MT, ambang levi keuntugan luar biasa, pekebun hanya mendapat pendapatan lebih kurang RM144 seekar (berdasarkan 1 ekar dapat mengeluarkan 0.8 MT BTS setiap bulan dengan OER (kadar perahan minyak) sebanyak 18%.
Pekebun yang mempunyai 5 ekar tanah, hasilnya hanya RM720 sebulan. Ini jauh lebih rendah daripada gaji minima di Malaysia. Bagaimanakah mereka ini dikatakan mendapat keuntungan luar biasa?
Daripada senarai cukai-cukai yang dikenakan, rakyat Sabah dan Sarawak adalah yang termalang sekali kerana mereka dikenakan cukai jualan apabila harga CPO melebihi RM1,000 se MT, iaitu satu harga di mana pekebun-pekebun masih kerugian teruk. Saya berharap kerajaan Negeri Sabah dan Negeri Sarawak dapat memansuhkan cukai jualan ini memandangkan negeri-negeri ini sekarang akan mendapat cukai jualan petroleum daripada Petronas. Baru-baru ini Sarawak telah mendapat RM2.9 billion daripada Petronas untuk cukai jualan petroleum.
Industri kelapa sawit bukan lagi satu industri ‘golden crop’ tetapi satu industri yang masih sempat memberi peluang pekerjaan dan pendapatan biasa kepada rakyat Malaysia. Apabila harga CPO menurun kepada RM1800 satu MT tidak lama dulu, ramai pekebun-pekebun kecil hendak keun-kebun mereka terbiar bagitu sahaja kerana sudah tidak lagi memberi pulangan pendapatan yang memuaskan. Kita jangan mematikan industri ini dengan terus mengenakan cukai-cukai diatas.
Visi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi ialah untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju agrikomoditi berdaya saing dan lestari di pasaran global. Bagaimana kita boleh berdaya saing dengan berbagai cukai yang dikenakan?
Cukai-cukai ini menyebabkan industri ini tidak ada daya saing lagi. Industri ini akan tutup jika tidak memberikan pulangan yang mencukupi untuk menyara hidup pekebun-pekebun kecil. Lebih kurang 550 ribu keluarga pekebun kelapa sawit akan jadi mangsa jika industri ini tutup. Satu generasi keluarga-keluarga ini akan menjadi miskin seperti yang berlaku dengan penutupan industri timah di Negeri Perak. Syarikat-syarikat besar yang berkecimpung dalam industri sawit seperti Felda, Felcra dan Tabung Haji juga akan terjejas.
Belanjawan 2021 memperuntukkan RM20 juta untuk menandingi kempen Anti Minyak Sawit. Kita perlu memulakan kempen kita terhadap kerajaan kita sendiri yang merupaka agen anti minyak sawit terbesar jika ia terus mengenakan berbagai cukai ke atas industri sawit.
Saya merayu supaya cukai-cukai di atas dimansuhkan dan pengusaha-pengusaha kelapa sawit hanya dikenakan cukai individu dan korporat daripada pendapatan kelapa sawit seperti pengusaha-pengusaha industri-industri atau pertanian yang lain.
Saya juga merayu agar kerajaan memulihkan bantuan tanam semula kepada pekebun-pekebun kecil sawit kerana industri ini menghadapi cabaran masa depan yang sengit.