Skip to content

Selamatkan hutan untuk selamatkan ekosistem & persekitaran alam semulajadi

Hari ini, 21 Mac adalah Hari Hutan Sedunia. Berdasarkan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 28 November 2012, peringatan ini akan dirayakan setiap tahun pada tanggal 21 Mac.

Setiap tahun 13 juta hektar hutan menghilang dari muka bumi. Apabila hilangnya hutan, hilang pula ekosistem yang ada di dalamnya, termasuk spesies flora dan fauna. 80% keanekaragaman hayati berdiam di hutan. Hutan juga merupakan media sekuestrasi karbon yang utama. Selain ekosistem, populasi manusia terutama masyarakat adat di sekitar hutan sangat bergantung pada hasil hutan untuk penghidupan mereka.

Dalam perbahasan menjunjung kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung, saya juga ada membangkitkan isu berkaitan dengan pengondalan hutan paya bakau yang tidak terkawal.

Mengikut data yang diberikan oleh World Resourses Institute ((WRI) 25810 hektar kawasan hutan paya bakau telah digondolkan dalam jangka masa 12 tahun? Luas kawasan yang dimaksudkan itu adalah lebih besar daripada keluasan keseluruhan kotaraya Kuala Lumpur. Jumlah kehilangan ini dikatakan 3 kali lebih besar daripada aktiviti penebangan hutan paya bakau di peringkat global.

Malaysia telah kehilangan 4.6% hutan paya bakau dari tahun 2001 hingga 2012 berbanding dengan peringkat global iaitu hanya 1.38% yang melibatkan 192,000 hektar kawasan hutan paya bakau dalam tempoh yang sama. Sekurang-kurangnya 1,000 hektar hutan paya bakau lenyap di bumi Malaysia setiap tahun dengan mencatatkan jumlah tertinggi pada tahun 2009 iaitu seluas 4052 hektar.

Dr Edlic Sathiamoorthy dari Universiti Malaysia Terengganu pula mendakwa kehilangan kawasan hutan paya bakau mungkin lebih besar daripada yang dibongkarkan oleh World Resouses Institute. Pengondolan hutan paya bakau secara berleluasa dan tidak terkawal akan membawa banyak masalah dan malapetaka akibat ribut dan banjir besar. Pada masa yang sama binatang liar tertentu juga akan hilang habitat akibat gangguan ekologi.

Saya tidak tahu bagaimana kerajaan boleh menutup mata dan membiarkan perkara ini berterusan. Walaupun kita mempunyai pelbagai perundangan dan agensi penguatkuasaan tetapi masalah ini dibiarkan berlanjutan. Pada masa ini, terdapat 551, 333 hektar hutan paya bakau di negara kita. Kita harus selamatkan hutan ini untuk anak cucu kita. Apakah langkah-langkah serius yang akan diambil oleh kerajaan untuk melindungi hutan yang masih ada?