Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 baru sahaja dilanjutkan, Malaysia belum lagi menyaksikan penurunan jumlah kes Covid-19. Keyakinan para pelabur tempatan mahupun antarabangsa berada pada tahap terendah dan pakej rangsangan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 18 Januari 2021 baru-baru ini hanyalah bersifat kosmetik dan tidak memadai berbanding kesan daripada PKP 2.0 dan Darurat.
Kini kadar penggangguran meningkat dengan mendadak. Sekiranya tidak ada tindakan yang lebih agresif, lebih banyak industri PKS yang bakal mengalami kerugian dan akan mengakibatkan kehilangan lebih banyak pekerjaan. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, kami menggesa Kerajaan untuk segera:
- melaksanakan moratorium pinjaman secara automatik untuk tempoh 6 bulan seperti yang dilakukan semasa PKP 1.0. Ini akan menghilangkan keresahan dan birokrasi dengan segera. Industri PKS atau mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran pinjaman mereka seperti biasa. 6 bulan moratorium pinjaman secara automatik akan meningkatkan aliran tunai kepada sektor ekonomi malah merancakkan aktivitinya. Dengan cara ini individu dan PKS akan mempunyai lebihan tunai yang dapat membantu meningkatkan pendapatan semua jenis perniagaan, seterusnya akan menggalakkan mereka mengekalkan atau mungkin menambah lebih ramai pekerja (bukannya membuang pekerja) sepanjang menghadapi pandemik ini; dan
- meningkatkan kadar subsidi upah PERKESO RM600 setiap pekerja kepada jumlah yang lebih tinggi (kepada yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,000) dan melanjutkannya untuk tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan. Jumlah subsidi RM600 sebulan yang diberikan sekarang tidak memadai dalam menghadapi PKP 2.0 dan Darurat yang telah menunjukkan kesannya ke atas beberapa sektor. Subsidi upah selama tempoh 6 bulan akan menggalakkan para majikan untuk tidak membuang pekerja dan membantu mereka bertahan sehingga separuh tahun akibat penyusutan jualan dan aliran tunai. Bagi sesetengah yang lain, ini juga mungkin mendorong mereka untuk mengambil pekerja semula.
Ini adalah masa yang luar biasa. Kerajaan harus mengambil langkah yang luar biasa juga untuk menyelamatkan sektor pekerjaan. Peningkatan jumlah penggangguran bakal merugikan negara sehingga tidak ada lagi pakej rangsangan yang mungkin dapat membantu kita pada masa depan. Kerajaan Perikatan Nasional sebenarnya telah pun tewas kepada negara jiran ASEAN kita dalam daya saing mereka untuk menarik pelabur asing akibat kelemahan, ketidakcekapan dan ketidakstabilan politik. Kekal dengan sindrom penafian dan kedegilan untuk merubah sesuatu yang lebih berkesan untuk sektor perniagaan hanyalah paku keranda terakhir untuk ekonomi kita yang parah dan berdarah.
Darell Leiking
AHLI PARLIMEN PENAMPANG
Syed Saddiq
AHLI PARLIMEN MUAR
Mohd Azis Jamman
AHLI PARLIMEN SEPANGGAR
Hannah Yeoh Tseow Suan
AHLI PARLIMEN SEGAMBUT
Yeo Bee Yin
AHLI PARLIMEN BAKRI
Baru Bian
AHLI PARLIMEN SELANGAU
Datuk Rozman Bin Isli
AHLI PARLIMEN LABUAN
Salahuddin Ayub
AHLI PARLIMEN PULAI
Amiruddin Hamzah
AHLI PARLIMEN KUBANG PASU
Teo Nie Ching
AHLI PARLIMEN KULAI
Isnaraissah Munirah Majilis
AHLI PARLIMEN KOTA BELUD
Mahfuz Omar
AHLI PARLIMEN POKOK SENA
Khalid Samad
AHLI PARLIMEN SHAH ALAM
Tengku Zulpuri Shah Bin Raja Puji
AHLI PARLIMEN RAUB
Maria Chin
AHLI PARLIMEN PETALING JAYA
Wong Shu Qi
AHLI PARLIMEN KLUANG
Teresa Kok Suh Sim
AHLI PARLIMEN SEPUTEH
Dr Dzulkefly Ahmad
AHLI PARLIMEN KUALA SELANGOR
Dr Lee Boon Chye
AHLI PARLIMEN GOPENG
Kasthuriraani Patto
AHLI PARLIMEN BATU KAWAN
P. Prabakaran
AHLI PARLIMEN BATU
M. Kulasegaran
AHLI PARLIMEN IPOH BARAT
Chong Chieng Jen
AHLI PARLIMEN STAMPIN
Nor Azrina Surip @ Nurin Aina
AHLI PARLIMEN MERBOK
Sivarasa Rasiah
AHLI PARLIMEN SUNGAI BULOH