Skip to content

Semangat tinggi dan komitmen yang ditunjukkan semasa Konvensyen Kerajaan Perpaduan semalam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia menjadi asas keyakinan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 bukan hanya untuk satu penggal lima tahun, tetapi dua penggal selama 10 tahun

Semangat tinggi dan komitmen yang ditunjukkan semasa Konvensyen Kerajaan Perpaduan semalam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia menjadi asas keyakinan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 bukan hanya untuk satu penggal lima tahun, tetapi dua penggal selama 10 tahun.

Konvensyen Kerajaan Perpaduan telah memberikan harapan untuk masa hadapan dan memberikan komitmen untuk memperbetulkan kesalahan dan kegagalan yang terjadi dalam enam dekad yang lepas, sama ada untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (yang juga merangkumi tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga merupakan Presiden UMNO) untuk membina sebuah Malaysia majmuk, menjana semula ekonomi negara dan menghapuskan kemiskinan, memastikan terdapatnya tadbir urus yang baik dan meningkatkan usaha untuk membanteras rasuah, menegakkan kedaulatan undang-undang dan badan kehakiman yang bebas, dan yang paling penting sekali, untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum, agama, budaya, dan negeri di dalam negara untuk menjadi contoh “Perpaduan dari Kepelbagaian” kepada dunia.

Konvensyen Kerajaan Perpaduan ini juga telah menamatkan semua desas desus baru-baru ini mengenai kejatuhan yang akan datang, dan seperti dalam cabaran yang diulangi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, semalam, pihak Pembangkang Perikatan Nasional (PN) berhak untuk membawa usul tidak percaya terhadap Kerajaan Perpaduan dalam sidang Parlimen yang akan datang sekiranya mereka mempunyai cukup bilang.

Dengan kejayaan Konvensyen Kerajaan Perpaduan semalam, Kerajaan Perpaduan ini sepatutnya akan berjaya untuk melepasi ujiannya yang akan datang – sidang Parlimen selama tiga minggu yang bakal bermula dalam masa seminggu lagi untuk terus mengekalkan harapan dalam kalangan rakyat Malaysia, bahawa kita ada peluang untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip yang dipersetujui bersama oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara – untuk menjadi sebuah negara Malaysia yang bersatu padu, progresif, dan makmur yang mampu menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.

Ujian seterusnya pula akan datang dalam bentuk pilihan raya umum di enam negeri Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang bakal berlangsung pada bulan Julai atau Ogos.

Walaupun pilihan raya ini diadakan di peringkat negeri, pilihan raya ini akan menjadi ujian yang penting untuk menentukan sama ada rakyat di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu menyokong usaha untuk menetapkan semula dan mengembalikan semula negara kita kepada prinsip-prinsip asas pembinaan negara majmuk Malaysia, yang akan melibatkan penyelesaian kepada isu yang telah lama berlarutan seperti kualiti air yang teruk, jalan yang sempit dan berlubang, sampah sarap yang tidak dikutip di Kelantan dan juga isu pembangunan yang perlahan dalam tiga dekad yang lepas di tiga negeri Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Dalam serangan terkininya, Presiden PAS, Hadi Awang telah menuduh yang kononnya orang Melayu sedang ditipu oleh perompak yang memberi dan menerima rasuah.

Adakah ini sebab mengapa tiga negeri, Kelantan, Terengganu, dan Kedah mencatatkan kadar pembangunan yang paling perlahan dalam tiga dekad yang lepas?

Saya berikan satu cadangan yang berani – untuk Kerajaan Perpaduan menawarkan tangannya untuk bekerjasama dengan PAS, tetapi dengan satu syarat – pertamanya, Presiden PAS Hadi Awang perlu membuang kebenciannya terhadap Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia dan keduanya Hadi perlu mula menjadi seorang pemimpin Islam yang jujur, bertanggungjawab, dan dihormati.

Saya telah memberikan Presiden PAS, Hadi Awang, banyak masa untuk memberikan bukti terhadap pelbagai tuduhan-tuduhan yang dilontarkannya terhadap DAP dan juga saya, tetapi dia masih gagal untuk memberikan bukti-bukti ini.

Baru-baru ini, dia telah membuat enam tuduhan yang liar dan tidak masuk akal terhadap DAP dan diri saya, tetapi dia gagal untuk buktikan satu pun dari tuduhan ini.

Enam tuduhan liar yang tidak dapat dibuktikan Hadi setakat ini adalah:

  • Selepas Pilihan Raya Umum ke-15, dia menuduh DAP sebagai mempromosikan Islamofobia. Kini, enam bulan sudah berlalu sejak dia membuat tuduhan tidak masuk akal ini dan walaupun dicabar saya berkali-kali, dia masih gagal untuk memberikan sebarang bukti terhadap tuduhan liar ini. Dia adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang membuat tuduhan tanpa sebarang bukti.
  • Semasa pilihan raya kecil Teluk Intan pada bulan Mei 2014, Hadi mengingatkan ahli-ahli PAS bahawa DAP yang membantu PAS semasa gabungan Barisan Nasional (BN) cuba untuk menumbangkan parti tersebut dari mentadbir Kelantan semasa Darurat Kelantan 1977. Dia mengatakan walaupun terdapat banyak perkara yang berbeza di antara DAP dan PAS, seperti mengenai apa yang halal dan haram, alkohol, khinzir, dan hudud, kedua-dua parti ini bersetuju untuk menghapuskan kemiskinan, kezaliman, dan rasuah, dan lain-lain perkara jahat. Adakah DAP mempromosikan Islamofobia ketika membantu PAS pada tahun 1977?
  • Hadi patut tahu sekarang yang DAP bukanlah dalang di sebalik mahupun terlibat dengan episod pada tahun 2018 apabila kerajaan Pakatan Harapan di bawah Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad cuba untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Adakah Hadi akan meminta maaf untuk tuduhan liar dan kejinya terhadap DAP yang cuba mengatakan bahawa DAP adalah “dalang” di sebalik usaha ini?
  • Sejak tahun 2018, Hadi tidak berjaya untuk memberikan satu pun contoh dari 55 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah meratifikasi ICERD di mana syiar Islam tergugat atau satu pun contoh dari 36 negara dengan sistem beraja di mana sistem monarki mereka tergugar akibat ratifikasi ICERD.
  • Tuduhan liar dan tidak masuk akalnya yang mengatakan bahawa orang bukan Islam dan bukan Melayu adalah “perompak” yang memberi dan menerima rasuah yang juga telah menipu orang Melayu dan orang Islam dari hak-hak mereka selama lebih dari setengah abad.
  • Tuduhan liar dan tidak masuk akal terbarunya yang mengatakan bahawa DAP telah menyasarkan orang Melayu yang “jahil mengenai kepercayaan mereka” untuk mengumpulkan kuasa politik dan bahawa kononnya DAP “mengumpan” sesetengah tokoh Melayu untuk menjadi “boneka”.

Islam, seperti mana-mana agama hebat dunia, tidak mengajar pemimpinnya untuk menipu atau menggunakan fitnah dan berita palsu.

Sekiranya Hadi boleh menjadi seorang pemimpin Islam yang jujur, bertanggungjawab, dan dihormati dan dia bersedia untuk mengakui kesilapannya dalam membuat tuduhan liar dan tidak masuk akal ini dan bersedia untuk berjanji untuk tidak mengulangi tuduhan liar dan tidak masuk akal terhadap DAP dan saya ini, saya tidak nampak apa-apa sebab mengapa PAS tidak boleh dijemput untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong bertitah dengan tepat – Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk menjadi sebuah negara progresif, makmur, dan dihormati dunia. Tetapi adakah Hadi akan menuruti titah ini demi kepentingan negara atau terus mengejar kepentingan peribadinya?