Skip to content

Semua ahli politik dalam GLC harus digugurkan atau jika tidak, pemecatan Tajuddin Abdul Rahman hanya pemecatan mengejut selepas berlakunya masalah yang tidak akan membawa ke arah reformasi institusi

Pemecatan Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd, seharusnya menjadi perintis kepada semua ahli politik lain yang berkhidmat sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) digugurkan segera. Jika tidak, ini hanya pemecatan mengejut selepas berlakunya masalah yang tidak akan membawa kepada reformasi institusi, seperti yang dilakukan oleh PH dalam melantik bukan ahli politik ke dalam Lembaga Pengarah GLC. Sebagai penjaga dana awam yang melibatkan puluhan bilion ringgit, hanya golongan profesional yang kompeten dan berkelayakan yang harus berkhidmat sebagai pengarah GLC.

Tidak dinafikan bahawa Tajuddin tidak layak sebagai Pengerusi Prasarana. Walau bagaimanapun, terdapat banyak ahli politik lain yang juga tidak berkelayakan untuk berkhidmat sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah GLC. Antaranya ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Pengerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, yang bersetuju bahawa ahli politik tidak boleh berada dalam GLC.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak mungkin akan menggugurkan semua ahli politik yang berkhidmat dalam Lembaga Pengarah GLC. Muhyiddin telah dirakam secara audio, menawarkan jawatan politik dan kedudukan dalam GLC sebagai pertukaran sokongan politik. Memastikan bahawa Ahli Parlimen ini mempunyai insentif untuk terus menyokongnya, sangat penting ketika Muhyiddin kehilangan majoriti parlimennya setelah UMNO menarik sokongan mereka.

Ahli Parlimen UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan bahawa dia telah menolak tawaran untuk menjadi Pengerusi Petronas kerana ia tidak berperlembagaan. Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan telah menolak tawaran untuk menjadi Pengerusi Tenaga Nasional Bhd. Terdapat banyak Ahli Parlimen dari PAS, Bersatu dan UMNO yang menyokong Muhyiddin, yang tidak seperti Tengku Razaleigh atau Mohamad Hasan.

Bagaimana Dengan Menteri Tidak Berfungsi?

Tajuddin pada dasarnya jatuh dengan sendiri kerana kegagalannya di Prasarana. Walaupun Muhyiddin mungkin gembira melihat Tajuddin dimalukan kerana Tajuddin adalah antara Ahli Parlimen UMNO yang menentang Muhyiddin, akan ada timbul pertanyaan mengapa Menteri yang gagal menjalankan tanggungjawab dalam mengawal wabak COVID-19 masih kekal dengan jawatan mereka.

Kes jangkitan COVID-19 Malaysia per kapita selama 7 hari terakhir, kini lebih teruk daripada India (lihat grafik) dengan jangkitan harian mencecah 7,478 kes dan 63 kematian semalam. Nombor pembiakan asas Covid-19 (R0) Malaysia masih tinggi pada 1.17 pada 26 Mei, walaupun ini adalah penurunan dari paras tertinggi 1.21 pada 23 Mei. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah memberi amaran bahawa situasi terburuk masih belum berlaku.

Rakyat Malaysia tidak boleh melupakan ejekan dunia yang ditujukan kepada Malaysia apabila Menteri Kesihatan kita mencadangkan minum air suam untuk mengelakkan COVID-19. Atau Perdana Menteri sendiri dan Menteri-menteri yang melanggar SOP COVID-19 dalam peraturan pemakaian pelitup muka, penjarakkan sosial atau kuarantin rumah. Adakah Menteri-Menteri ini akan digugurkan?