Saya baca semula sembilan cabaran strategik yang disenaraikan oleh Perdana Menteri keempat, Mahathir Mohamad, semasa melancarkan Wawasan 2020 pada tahun 1991 dan mendapati yang kesemua cabaran ini merupakan satu kegagalan besar untuk Malaysia.
Kegagalan sembilan cabaran strategik Wawasan 2020 inilah punca mengapa hari ini Malaysia telah mundur dari asalnya sebuah negara terbaik dunia kepada sebuah negara yang biasa-biasa sahaja, yang berada dalam bahaya menjadi sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057.
Kegagalan ini juga merupakan punca mengapa Malaysia telah menjadi sebuah negara yang sangat korup, ketinggalan di belakang Indonesia, China, dan India dalam beberapa dekad yang lepas.
Sekurang-kurangnya, kita ada peluang untuk menghentikan kemerosotan ini dan kita tidak boleh bazirkan peluang untuk menyelamatkan negara yang ada ini.
Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke-16 tepat sekali apabila baginda bertitah yang Malaysia memerlukan kestabilan politik untuk memperbetulkan kesilapan yang lepas, tetapi Perikatan Nasional, yang dibentuk oleh Ahli-ahli Parlimen Bersatu dan PAS kelihatan komited untuk melakukan perkara yang sebaliknya – untuk mewujudkan ketidakstabilan politik yang akan mempercepatkan kemerosotan negara.
Apa yang lebih buruk lagi, orang yang sama yang melancarkan Wawasan 2020 pada tahun 1991 dan bercakap mengenai sembilan cabaran strategik ini juga kelihatan seperti sudah mengabaikan Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya.
Berikut adalah apa yang dikatakannya 32 tahun yang lepas:
“Menjelang tahun 2020, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang bersatu padu, dengan masyarakat Malaysia yang berkeyakinan, diterapkan dengan nilai moral dan etika yang kuat, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertoleransi, saling peduli, dengan ekonomi yang adil dan saksama, progresif dan makmur, memiliki ekonomi yang berdaya saing, dinamik, berketahanan, dan mampan.
“Tidak akan ada sebuah Malaysia yang benar-benar maju sehingga kita berjaya mengatasi sembilan cabaran strategik utama yang ada di hadapan kita sejak dari permulaan negara kita sebagai sebuah negara yang merdeka.
“Cabaran yang pertama adalah untuk menubuhkan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu padu, dengan identiti dan cita-cita yang dikongsi bersama. Negara ini perlulah berdamai dengan diri sendirinya, terintegrasi dari segi wilayah dan etnik, hidup dalam harmoni dan dengan perkongsian penuh dan adil, dibentuk oleh ‘Bangsa Malaysia’ dengan kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.”
Hari ini, pada tahun 2023, Malaysia tidak pernah terpolarisasi dan berpecah belah seteruk ini, dan orang yang melancarkan Wawasan 2020 sendiri tidak membuat apa-apa untuk memastikan kebangkitan ‘Bangsa Malaysia’ dengan kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara. Sebaliknya, dia melakukan perkara yang bertentangan – berada bersama mereka yang menyebarkan politik toksik perkauman dan keagamaan yang diasaskan kepada penipuan, fitnah, dan berita palsu seperti kononnya DAP mempromosikan Islamofobia.
Saya nasihatkan semua Menteri, Ahli-ahli Parlimen, dan semua rakyat Malaysia untuk membaca semula sembilan cabaran strategik Wawasan 2020 untuk memahami di manakah kita tersilap dan gagal dalam usaha membina negara bangsa selama enam dekad yang lepas.