Senator Dato’ Wu Him Ven hari ini menyertai perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) di Dewan Negara, menjadikan ini penampilan sulung beliau selepas mengangkat sumpah pada 25 Ogos lalu.
Dalam ucapan beliau, Senator Wu menekankan tiga fokus utama:
- Perlindungan Hutan dan Perdagangan Karbon – Malaysia perlu mempercepatkan mekanisme pasaran karbon, memelihara lebih 18 juta hektar hutan dan memastikan komuniti Orang Asli serta tempatan mendapat manfaat langsung.
- Pembangunan Koperasi – Dengan lebih 14,000 koperasi di Malaysia, beliau menggesa penubuhan Pusat Inovasi Koperasi Nasional serta skim pembiayaan khas bagi koperasi berprestasi baik, agar koperasi dapat menjadi pemacu ekonomi rakyat.
- Pembangunan Negeri Sembilan – Senator Wu menekankan keperluan menjadikan Negeri Sembilan sebagai hab pertanian moden, memperkukuh infrastruktur luar bandar, serta menjadikan negeri ini contoh perpaduan sosial dan kesiapsiagaan bencana.
“RMKe-13 bukan sekadar pelan pembangunan negara, tetapi juga peluang untuk memastikan Negeri Sembilan tidak tertinggal dalam arus pembangunan nasional. Saya akan menggunakan pengalaman lebih 40 tahun di lapangan untuk menyuarakan harapan rakyat di Dewan Negara,” katanya.
— Tamat —
[English]
Senator Dato’ Wu Him Ven Sworn In, Highlights Key Role of 13th Malaysia Plan for Sustainability and Negeri Sembilan’s Development
Senator Dato’ Wu Him Ven today participated in the Dewan Negara debate on the 13th Malaysia Plan (13MP), marking his first appearance in the Senate after being sworn in on 25 August.
In his speech, Senator Wu outlined three key priorities:
- Forest Protection and Carbon Trading – Malaysia must accelerate its carbon market framework, safeguard over 18 million hectares of forest, and ensure that Orang Asli and local communities benefit directly.
- Strengthening Cooperatives – With more than 14,000 registered cooperatives nationwide, he called for the establishment of a National Cooperative Innovation Centre and dedicated financing schemes to empower well-performing cooperatives as drivers of people’s economy.
- Negeri Sembilan’s Development – He stressed the need to position Negeri Sembilan as a hub for modern agriculture, strengthen rural infrastructure, and promote the state as a model of social cohesion and disaster preparedness.
“The 13th Malaysia Plan is not just a national development blueprint but also an opportunity to ensure Negeri Sembilan is not left behind. With over 40 years of grassroots experience, I am committed to voicing the people’s aspirations in the Senate,” he said.
— End —
[FULL TEXT]
Teks Ucapan Parlimen
Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan ucapan tahniah kepada YAB Perdana Menteri kerana membentangkan Rancangan Malaysia Ke Tiga Belas (RMK-Tiga Belas).
Dengan COP30 semakin hampir, Malaysia mesti menggunakan peluang dalam Rancangan Malaysia Ke-13 untuk memperkukuh perlindungan hutan, mengembangkan mekanisme konservasi dan mengakses pembiayaan iklim antarabangsa. Malaysia memiliki kira-kira 18.27 juta hektar hutan, iaitu lebih 55% daripada keluasan tanah negara. Namun, kadar kehilangan hutan sekunder dan hutan paya gambut semakin membimbangkan. Data menunjukkan antara 2001 hingga 2020, Malaysia telah kehilangan lebih 2.7 juta hektar litupan pokok, sebahagian besarnya akibat pembalakan dan penukaran guna tanah.
Dalam konteks ini, perdagangan karbon merupakan instrumen penting untuk menjana dana pemuliharaan. Namun sehingga kini, kemajuan mekanisme perdagangan karbon negara masih belum jelas. Saya mohon kerajaan memberikan penjelasan terperinci mengenai status pelaksanaan pemerdagangan karbon.
Saya ingin memberikan penghargaan kepada sekumpulan 10 organisasi masyarakat sivil, termasuk Greenpeace Malaysia, yang telah bersama-sama menghasilkan sebuah memorandum dengan cadangan berikut:
Pertama, Mewujudkan peta hutan nasional yang dipersetujui semua negeri;
Kedua, Menubuhkan pusat pemantauan hutan satelit;
Ketiga, Memberi kuasa langsung kepada komuniti Orang Asli dan tempatan melalui Dana Akses Terus;
Keempat, Membentuk Majlis Pembiayaan Hutan Kebangsaan yang telus; serta
Kelima, membuat komitmen politik menyertai Tropical Forest Forever Facility (TFFF).
Cadangan-cadangan ini selari dengan strategi RMKe-13 dalam pengurusan perubahan iklim, biodiversiti dan pertumbuhan ekonomi hijau.
Untuk mempercepatkan mekanisme karbon, kita boleh belajar daripada negara lain:
China berjaya membentuk pasaran karbon terbesar dunia yang melibatkan lebih 2,200 syarikat tenaga, dengan nilai perdagangan melebihi USD 4 bilion pada tahun pertama.
Korea Selatan melaksanakan Korea Emission Trading Scheme (K-ETS) yang kini meliputi hampir 70% pelepasan nasional.
Kesatuan Eropah (EU ETS) yang telah beroperasi sejak 2005 membuktikan harga karbon yang stabil boleh mengurangkan pelepasan sebanyak 41% dalam sektor tenaga dan industri berat.
Malaysia harus mengambil iktibar. Jika kita menangguh, kita akan ketinggalan dalam pasaran karbon global bernilai lebih USD 100 bilion setahun. Oleh itu, saya mendesak kerajaan mempercepatkan kerangka dasar perdagangan karbon agar pembiayaan pemuliharaan dapat segera disalurkan kepada negeri, komuniti tempatan serta pemegang taruh yang relevan.
Koperasi di Malaysia
Selain isu hutan dan perubahan iklim, saya juga ingin menyentuh tentang peranan koperasi dalam pembangunan sosio-ekonomi negara. Malaysia kini mempunyai lebih 14,000 koperasi berdaftar dengan keanggotaan melebihi 7 juta orang dan aset bernilai lebih RM160 bilion. Walaupun angka ini mengagumkan, banyak koperasi kecil masih menghadapi masalah pengurusan, modal terhad, dan kurangnya kepakaran pemasaran.
Antara cabaran utama ialah:
Pertama, Tadbir urus yang lemah. Sebahagian koperasi gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan atau melaporkan kewangan secara telus.
Kedua, Akses pembiayaan yang terbatas. Koperasi sukar mendapat pinjaman kerana dianggap berisiko tinggi.
Ketiga, Kurang inovasi. Kebanyakan koperasi masih bergantung kepada sektor tradisional seperti runcit atau pertanian kecil, sedangkan potensi dalam teknologi digital, tenaga boleh baharu dan pertanian moden belum diterokai sepenuhnya.
Justeru, saya ingin mencadangkan beberapa langkah:
Pertama, kerajaan perlu menubuhkan Pusat Inovasi Koperasi Nasional untuk melatih kepimpinan koperasi dalam bidang digital, pemasaran e-dagang, dan teknologi hijau.
Kedua, kerajaan perlu memperluas skim pembiayaan melalui Bank Rakyat atau TEKUN khusus untuk koperasi yang berprestasi baik.
Ketiga, kerajaan perlu mewujudkan kerjasama koperasi serantau agar koperasi kecil boleh bergabung dalam rantaian nilai yang lebih besar.
Keempat, kerajaan perlu memasukkan koperasi ke dalam agenda ekonomi hijau, contohnya melalui projek tenaga solar komuniti atau ladang hutan komuniti yang disokong skim perdagangan karbon.
Jika koperasi diberi ruang dan insentif yang jelas, ia mampu menjadi pemacu ekonomi rakyat, mengurangkan jurang pendapatan serta memperkukuh ketahanan sosial negara.
Rancangan Malaysia bukan sahaja penting di peringkat nasional, tetapi juga memberi impak kepada Negeri Sembilan untuk terus berkembang secara mampan.
Pertanian & Keselamatan Makanan
Negeri Sembilan terkenal dengan tanah yang subur, khususnya di kawasan Jelebu, Kuala Pilah, dan Jempol.
Ramai penduduk luar bandar masih bergantung pada sektor pertanian tradisional seperti sawah padi, getah, dan kelapa sawit.
Namun, cabaran utama ialah:
- Kos baja dan racun meningkat, menekan petani kecil.
- Generasi muda kurang berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai petani.
- Paras sara diri makanan masih belum mencukupi, walaupun tanah kita berpotensi besar.
Oleh itu, saya berharap kerajaan dapat memberi:
- Sokongan khas untuk Negeri Sembilan sebagai hub pertanian moden, termasuk teknologi pertanian pintar (smart farming).
- Insentif kepada belia tani, supaya mereka pulang ke kampung dan melihat pertanian sebagai kerjaya bernilai tambah.
- Pelaburan dalam agro-pelancongan di Negeri Sembilan, kerana Negeri Sembilan kaya dengan budaya adat perpatih yang boleh digabungkan dengan ekopelancongan desa.
Pembangunan Luar Bandar
Kawasan luar bandar di Negeri Sembilan – seperti di Rembau, Tampin, dan Kuala Pilah – masih berdepan isu akses internet yang lemah, jalan raya yang sempit, dan kekurangan peluang pekerjaan.
Saya ingin tekankan:
- Ramai belia di Negeri Sembilan terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur atau Melaka untuk mencari rezeki.
- Kampung tradisional yang kaya dengan warisan adat perpatih semakin berkurangan penghuninya kerana pembangunan tidak seimbang.
Maka saya menyokong agar kerajaan memberi perhatian kepada:
- Projek jalan raya desa dan capaian internet berkelajuan tinggi di Negeri Sembilan.
- Program keusahawanan desa – termasuk dalam bidang makanan, kraftangan dan produk tradisional Negeri Sembilan.
- Pusat ekonomi komuniti desa, supaya penduduk kampung boleh sama-sama menikmati hasil pembangunan negara.
Perpaduan Sosial & Kesiapsiagaan Bencana
Negeri Sembilan terkenal dengan perpaduan kaum yang kukuh, khususnya melalui sistem Adat Perpatih yang menekankan semangat musyawarah dan kebersamaan.
Namun, negeri ini juga tidak terkecuali daripada cabaran banjir kilat, tanah runtuh, dan perubahan iklim. Saya sendiri pernah turun padang membantu menyelaras bantuan banjir di Negeri Sembilan, dan saya sedar masalah yang paling besar ialah koordinasi bantuan yang lambat serta komunikasi yang tidak teratur.
Oleh itu, saya mencadangkan:
- Negeri Sembilan dijadikan model negeri perpaduan dan kesiapsiagaan bencana komuniti, dengan melibatkan masyarakat sivil, NGO dan agensi kerajaan.
- Program latihan komuniti untuk meningkatkan kesedaran bencana di daerah-daerah yang kerap terjejas.
- Memanfaatkan perpaduan masyarakat majmuk di Negeri Sembilan sebagai contoh nasional, kerana adat perpatih membuktikan bahawa masyarakat boleh hidup harmoni walaupun berbeza latar belakang.
Akhir kata, Rancangan Malaysia Ke-13 ialah dokumen holistik yang menggabungkan strategi pembangunan berimpak tinggi dengan prinsip keadilan sosial, reformasi institusi serta daya saing ekonomi berteraskan inovasi.
Sebagai Senator dari Negeri Sembilan, saya melihat RMK-Tiga Belas bukan sekadar pelan pembangunan negara, tetapi peluang untuk memastikan negeri saya tidak tertinggal dalam arus pembangunan nasional.
Akhir kata, saya ingin tegaskan bahawa pengalaman saya lebih empat puluh tahun bekerja dengan rakyat bawahan memberi saya keyakinan untuk menyuarakan harapan mereka di pentas ini.
Sekian, terima kasih.