Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam yang menyambutnya. Walaupun sambutan tahun ini terpaksa dilakukan di rumah sahaja tanpa kunjung-berkunjungan, tetapi ianya masih boleh diraikan dengan penuh bermakna.
Di sini, saya ingin melafazkan kekecewaan yang amat mendalam atas tindakan Najib Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia yang memfitnah bahawa saya tidak melakukan apa-apa bagi menyelesaikan masalah-masalah pusat kuarantin di Sabah semenjak bulan 2 April yang lalu melalui tulisannya di Facebook rasmi beliau pada hari ini (https://www.facebook.com/najibrazak/posts/10157066698950952).
Berkenaan dakwaan bahawa saya tidak melakukan apa-apa berkenaan pusat kuarantin di Sabah, saya ada berhubungan dengan pelajar-pelajar yang dikuarantinkan di dalam pusat-pusat kuarantin di Sabah, termasuk di Kota Kinabalu dan di Tawau. Saya juga dengan penuh kesabaran menunggu selama dua bulan untuk mengemukakan soalan mengenai keadaan yang kurang memadai pusat-pusat kuarantin ini di Parlimen tetapi hak saya sebagai Ahli Parlimen untuk bersuara dinafikan apabila persidangan ditamatkan selepas hanya satu jam. Najib Razak yang turut hadir persidangan parlimen tersebut boleh menjadi saksi untuk perkara ini yang sememangnya “pecah rekod” negara Malaysia sebagai negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.
Dalam apa pun jua keadaan, ianya agak pelik untuk Najib Razak mengharapkan seorang Ahli Parlimen pembangkang seperti saya yang tidak berkuasa langsung untuk memperbaiki keadaan pusat kuarantin sedangkan BN / UMNO pun tidak menunjukkan kesungguhkan untuk memperbaiki keadaan kesihatan awam Sabah semenjak dahulu lagi. Ianya seolah-olah beliau masih di bawah tanggapan bahawa Pakatan Harapan (PH) dan DAP masih lagi berkuasa dalam kerajaan pusat. Mungkin Najib Razak yang tidak dilantik sebagai seorang menteri terlupa bahawa yang berkuasa di peringkat pusat adalah kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional (PN) yang mana Najib Razak juga seorang penyokong (backbencher).
Menurut bekas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt pada 17 Februari 2019, nisbah doktor dan pesakit di Sabah adalah seorang doktor untuk 1,200 pesakit, berbanding dengan di Semenanjung seorang doktor untuk 600 pesakit. Jelasnya, negeri Sabah sudah pada mulanya tidak diberikan peruntukan dan sumber manusia yang mencukupi oleh kerajaan persekutuan.
Kerajaan Negeri Sabah menghadapi pelbagai kekangan untuk menjaga rakyatnya, bukan sahaja daripada segi sumber kewangan (Belanjawan keseluruhan Negeri Sabah 2020 adalah sebanyak RM4.14 billion berbanding Belanjawan Persekutuan 2020 untuk Kementerian Kesihatan Malaysia sahaja adalah sebanyak RM30.6billion), tetapi juga dari segi sumber kuasa (Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa “kesihatan” adalah kuasa Persekutuan, dan negeri Sabah hanya mempunyai sebahagian kuasa “kesihatan awam, kebersihan dan pencegahan penyakit” melalui Senarai Bersama dalam Perlembagaan Persekutuan).
Walaupun dengan semua kekangan ini, Kerajaan Negeri Sabah di bawah Ketua Menteri Sabah YAB Datuk Seri Panglima Shafie Apdal masih tetap mengambil inisiatif sendiri untuk melindungi rakyat Sabah dengan pengubahsuaian Kompleks Sukan Likas sebagai wad tambahan kepada Hospital QE1. Tindakan ini menerima maklum balas positif dari KKM dan di létal di bawah jagaan Hospital QE1. Tidakkah PN yang kini memegang tampuk kuasa Kerajaan Persekutuan sepatutnya berasa malu apabila menuding jari kepada Kerajaan Negeri?
Sebelum ini pada 4 April, Menteri Kanan, Ismail Sabri telah menafikan “keadaan buruk” dalam pusat-pusat kuarantin di Sabah dan menyatakan ianya sebagai berita palsu. Persoalannya, adalah ini bermakna Kerajaan Persekutuan cuba cuci tangan berkenaan isu-isu pusat kuarantin di Sabah dan enggan untuk membuat apa-apa pembaikan?
Di sini, saya ingin menyeru Najib Razak untuk membantu Kerajaan Negeri Sabah sekiranya beliau ikhlas untuk membantu rakyat Sabah. Cukuplah menyalahkan Kerajaan Negeri Sabah sahaja.
Sekiranya Najib Razak masih berkeras kepala ingin menyalahkan Kerajaan Negeri Sabah, maka beliau seharusnya menyokong agar Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya “kesihatan” dan “kesihatan awam, kebersihan dan pencegahan penyakit” dimasukkan dalam Senarai IIA ke dalam Jadual Kesembilan dan berikan dana yang mencukupi kepada Kerajaan Negeri Sabah. Cukuplah dengan pegangan kuasa di Persekutuan tetapi terus menyalahkan Kerajaan Negeri pula apabila kegagalan berlaku.