Skip to content

Seru Datuk Seri Idris Jusoh kemukakan penilaian oleh institusi antarabangsa untuk menunjukkan bahawa universiti tempatan berada di kedudukan yang sama dengan universiti di UK, Jerman dan Australia

Saya benar-benar teringin mahu percaya bahawa kenyataan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh mengenai pendidikan tinggi negara sudah setaraf negara maju seperti United Kingdom, Jerman dan Australia.

Walaupun kenyataan tersebut dihujani komen negatif dan sinis, saya sebaliknya benar-benar teringin mahu percaya. Saya mahu percaya bahawa Idris Jusoh bukan sekadar berjenaka, walaupun seluruh warga internet menyambut kenyataannya dengan gelak ketawa.

Saya mahu percaya bahawa Idris Jusoh tidak sekadar syok sendiri, atau syok bersama rakan-rakan jemaah menteri. Saya teringin mahu merasa bangga dengan taraf pendidikan tinggi negara; sekiranya apa yang dikatakan Idris adalah benar, tiada yang benar selain yang benar belaka.

Namun ternyata sukar bagi saya untuk mempercayai percakapan Idris Jusoh.

Bagi meyakinkan saya dan ramai lagi mahasiswa di luar sana yang barangkali menggaru kepala dan turut teringin mahu percaya dengan kenyataan Idris, beliau sewajarnya memberikan kita dua fakta.

Pertama, kemukakan penilaian oleh institusi antarabangsa untuk menunjukkan bahawa universiti tempatan berada di kedudukan yang sama dengan universiti di UK, Jerman dan Australia.

Kedua, saya minta kesemua 35 menteri Kabinet mendedahkan di mana anak-anak mereka melanjutkan pelajaran tinggi. Ke universiti awam tempatan, atau universiti asing?

Sebaliknya jika gagal mengemukakan dua bukti ini, Idris Jusoh tidak mempunyai pilihan kecuali meminta maaf serta menarik balik kenyataannya itu.

Sebagai rujukan, saya nyatakan bahawa menurut ranking QS World University 2014, Malaysia masih jauh ditinggalkan institusi pengajian tinggi di United Kingdom dan Australia. Sebagai contoh, 19 universiti UK berada dalam ranking 100 teratas, tetapi menurut ranking tahunan itu, hanya Universiti Malaya yang layak berada dalam kedudukan 200 teratas, itu pun pada tangga ke 151.