Skip to content

Seruan kepada Anwar untuk memberikan jaminan jawatankuasa peringkat tinggi yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri akan diberikan setahun untuk menyelesaikan masalah doktor kontrak yang berlanjutan dan untuk meminta para aktivis Mogok Doktor Malaysia memperkenalkan diri mereka dengan janji yang mereka tidak akan dikenakan tindakan

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, perlu memberikan jaminan yang jawatankuasa peringkat tinggi yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, akan diberikan setahun untuk menyelesaikan masalah mengenai doktor kontrak yang telah berlanjutan untuk sekian lamanya.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi telah menggesakan doktor kontrak kerajaan untuk memberikan dia dan jawatankuasa peringkat tinggi yang dibentuk oleh Kabinet pada minggu lepas peluang untuk menyelesaikan masalah mereka.

Zahid mengatakan: “Saya telah bentuk sebuah jawatankuasa peringkat tinggi, yang bukan sahaja melibatkan Kementerian Kesihatan, tetapi juga agensi-agensi lain termasuklah Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, dan lain-lain agensi.

“Perbincangan perlu diadakan untuk memuktamadkan skim baharu, yang perlu dibangunkan supaya kita dapat bantu doktor kontrak, yang rasa percaya perlu kita bantu.

“Dan perkara ini perlulah dilakukan melalui tatacara dan skim perkhidmatan kerajaan.”

Anwar perlu berikan jaminan ini semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, memandangkan Ahli Parlimen Tuaran, Madius Tangau, ada bertanya soalan mengenai doktor kontrak yang berbunyi “minta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan Pegawai Perubatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam dan implikasi kewangan yang terlibat jika semua Pegawai Perubatan lantikan kontrak diserap masuk dan seterusnya dilantik secara tetap”.

Masalah doktor kontrak ini diwarisi dari pentadbiran sebelum ini apabila ia mula diperkenalkan pada tahun 2016 – ketika negara kita dibanjiri oleh graduan perubatan dalam pasaran buruh. Kerajaan perlu sensitif terhadap suara petugas kesihatan dan memastikan yang semua kegusaran mereka diselesaikan, termasuklah dengan dengan mewujudkan lebih banyak jawatan tetap, menaja pengajian doktor, memastikan ada skim naik pangkat mengikut tempoh perkhidmatan, dan juga mengadakan peluang naik pangkat kepada gred khas.

Saya menyokong pendirian ketua DAPSY yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii, bahawa sebahagian besar dari tuntutan yang dikemukakan oleh Mogok Doktor Malaysia bagi pihak doktor kontrak tidak patut diabaikan, sebaliknya patut diberikan perhatian serius.

Anwar patut meminta para aktivis ini untuk memperkenalkan diri mereka dan beri jaminan kepada mereka yang mereka tidak akan dikenakan tindakan.

Wabak Covid-19 telah menunjukkan bahawa ada keperluan untuk kita menaik taraf sistem kesihatan negara kita dan perkara ini perlu diambil kira oleh jawatankuasa peringkat tinggi Kabinet ini.