Skip to content

Seruan kepada golongan muda di Pulau Pinang untuk memimpin gerakan transformasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara bertaraf dunia yang mampu melahirkan juara dunia dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia

Saya agak teruja malam ini kerana saya dapat lihat ratusan muka golongan muda – dan beginilah DAP bermula kira-kira enam dekad yang lepas, sebagai sebuah parti yang muda dengan pemimpin dan ahli-ahli dalam kalangan golongan muda yang berdedikasi dengan Impian Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik, lebih adil, lebih progresif, dan lebih makmur untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, umur, atau jantina.

Kita semua ada Impian Malaysia – persoalannya adalah sama ada kita mampu kekalkan Impian Malaysia ini dalam kehidupan kita.

Mungkin bakal Ketua Menteri Pulau Pinang atau Menteri Persekutuan dalam kalangan anda semua hari ini – hanya masa yang akan menentukan.

Kita sekarang sedang berada dalam masa yang sangat penting memandangkan dalam masa sebulan dari sekarang pada 12 Ogos, pilihan raya negeri untuk Pulau Pinang akan dijalankan, begitu juga dengan Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu – pilihan raya negeri yang penting bukan sahaja untuk keenam-enam negeri ini, tetapi juga penting untuk masa hadapan negara.

Rakyat Malaysia telah diberikan peluang untuk berhenti sementara, menetapkan semula, dan kembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip pembinaan negara untuk sebuah Malaysia yang majmuk yang telah diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara – Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn) ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara – prinsip-prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dan kebebasan beragama untuk kepercayaan yang lain, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, kerajaan yang bersih dan jujur, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, pengakhiran segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan sosial yang bertaraf dunia, dan perpaduan, persefahaman, dan keharmonian dari kepelbagaian masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.

Ini mungkin peluang terakhir untuk Malaysia berpatah balik dan menghentikan kemerosotan yang disaksikan negara kita dalam beberapa dekad yang lepas untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia yang mampu melahirkan juara dunia sekali lagi.

Saya seru kepada golongan muda di Pulau Pinang untuk memimpin gerakan transformasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara bertaraf dunia yang mampu melahirkan juara dunia dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.

Kita perlu berani untuk mengimpikan cita-cita yang besar, dan yang lebih penting lagi, mengambil langkah untuk mencapai cita-cita ini.

Tanpa mengira sama ada kita Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, atau Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Tao, kita perlulah “Pertamanya rakyat Malaysia”.

Tidak ada sesiapa pun yang meminta mana-mana rakyat Malaysia untuk berhenti dari menjadi seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, atau Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Tao, tetapi kita perlulah ada identiti yang dikongsi bersama – sebagai rakyat Malaysia.

Kita mahukan semua rakyat Malaysia untuk bersatu padu, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, umur, atau jantina, bukan seperti sesetengah pihak yang mahu melaga-lagakan antara satu kaum dengan kaum yang lain atau satu agama dengan agama yang lain.