Skip to content

Seruan kepada golongan muda di Pulau Pinang untuk mengikuti jejak langkah perenang para Zy Kher Lee dan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia yang mampu melahirkan juara dunia

Saya bertemu dengan perenang para dari Pulau Pinang, Zy Kher Lee, untuk bersarapan semalam dan telah berpeluang mendengari kisah perjuangan dan keazamannya.

Pelajar sekolah Sekolah Menengah Chung Ling yang berusia enam belas tahun itu, yang juga merupakan pemanjat gunung kurang upaya termuda yang berjaya mendaki Gunung Kilimanjaro, gunung tertinggi di Afrika yang merupakan gunung keempat tertinggi di dunia, telah memenangi dua pingat emas di Sukan Para ASEAN 2023 yang berlangsung di Phnom Penh.

Saya harap Zy, yang dilahirkan dengan tangan kiri yang lengkap dan separuh tangan kanan, tanpa kaki kanan dan dengan kaki kiri yang tidak sempurna dengan hanya tiga jari kaki, akan menjadi jaguh Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024 dan terus menjadi juara dunia.

Malah, saya seru kepada golongan muda di Pulau Pinang untuk mengikuti jejak langkah Zy, dan pada 12 Ogos, memilih untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara hebat dunia yang mampu melahirkan juara-juara dunia sekali lagi.

Rakyat Malaysia telah diberikan peluang untuk berhenti sementara, menetapkan semula, dan kembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip pembinaan negara untuk sebuah Malaysia yang majmuk yang telah diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara – Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn) ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara – prinsip-prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dan kebebasan beragama untuk kepercayaan yang lain, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, kerajaan yang bersih dan jujur, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, pengakhiran segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan, dan sosial yang bertaraf dunia, dan perpaduan, persefahaman, dan keharmonian dari kepelbagaian masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.

Ini mungkin peluang terakhir untuk Malaysia berpatah balik dan menghentikan kemerosotan yang disaksikan negara kita dalam beberapa dekad yang lepas untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia yang mampu melahirkan juara dunia sekali lagi.

Kita tidak mahu Malaysia menjadi “juara dunia” untuk sebab-sebab yang tidak betul, seperti menjadi “juara dunia” dengan jumlah kematian akibat Covid-19 tertinggi.

Seorang rakyat Malaysia baru-baru ini telah memenangi anugerah oscar, dan kita mahu untuk memenangi semula Piala Thomas dan menjadi juara dalam sukan Olimpik dan Paralimpik, dan juga pelbagai acara sukan yang lain, kita mahu mempunyai sekolah terbaik, universiti terbaik, hospital terbaik, dan sistem sosial dan kesihatan yang terbaik di dunia.

Kita perlu berani untuk bercita-cita besar, dan yang lebih penting lagi, mengambil langkah untuk merealisasikan cita-cita ini.

Tanpa mengira sama ada kita orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, atau Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Tao, kita semua perlulah “Pertamanya rakyat Malaysia”.

Tidak ada sesiapa yang minta mana-mana rakyat Malaysia meninggalkan identitinya sebagai seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, atau Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, atau Tao, tetapi kita semua perlu mempunyai identiti yang dikongsi bersama – iaitu sebagai rakyat Malaysia.

Kita mahu semua rakyat Malaysia untuk bersatu padu, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, umur, atau jantina, berbanding dengan sesetengah pihak yang mahu melaga-lagakan di antara satu kaum dengan kaum yang lain dan satu agama dengan agama yang lain.

Kita perlu pandang ke masa hadapan dan tidak ditenggelamkan ke belakang dengan isu-isu perkauman dan keagamaan.