Pemerintah Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini telah bertitah menyeru untuk adanya kestabilan politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Baginda menzahirkan kegusaran bahawa sehingga hari ini, lima bulan selepas PRU15, 222 Ahli-ahli Parlimen masih tidak sehaluan mengenai keperluan untuk adanya kestabilan politik di dalam negara.
Baginda bertitah: “Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini?
“Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titah baginda di Facebook.
Sultan Johor mengatakan yang usaha untuk menggugat kestabilan adalah satu perkara yang tidak sihat untuk negara, sama ada dari segi sosial, ekonomi, mahupun kedudukan kita di persada dunia.
Saya seru kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dan Presiden PAS, Hadi Awang, untuk mengisytiharkan yang Bersatu dan PAS akan mentaati beberapa nasihat yang telah dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Sultan-Sultan dari pelbagai negeri kepada ahli-ahli politik dari semua parti politik untuk memastikan terdapatnya kestabilan politik dalam negara dan bahawa mereka tidak akan terlibat dalam apa-apa usaha untuk menumbangkan kerajaan perpaduan Anwar untuk lima tahun yang akan datang.
Perkara ini adalah nasihat Yang di Pertuan Agong dalam Titah Diraja baginda semasa istiadat pembukaan Parlimen ke-15 pada bulan Februari, namun ia diabaikan sepanjang tiga bulan yang lepas.
Perkara ini menjadi satu ujian, sama ada para pemimpin dan ahli-ahli politik bersedia untuk mengetepikan kepentingan peribadi mereka dan kepentingan parti mereka demi kepentingan negara.