Skip to content

Seruan kepada Muhyiddin supaya jangan lalai jaga kepentingan vaksin untuk rakyat Pagoh dan Johor

Kami amat terkejut dengan berita di mana kawasan yang diwakili PM Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menghadapi masalah ketiadaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Kawasan DUN Gambir yang diwakili oleh Muhyiddin tiada PPV setakat ini. Pekan Bukit Gambir yang berbilang kaum mempunyai bilangan penduduk lebih kurang 40,000 orang. Disambung dengan susur keluar Lebuhraya Utara-Selatan, ada Restoran KFC dan empat buah klinik kerajaan termasuk beberapa Klinik Desa dalam kawasan DUN Gambir.

Namun demikian, untuk menerima vaksin Covid warga emas diminta untuk pergi sampai ke Bandar Tangkak yang terletak sejauh 25km dari Bukit Gambir. Sudah tentu masalah pengangkutan mengekang lebih ramai warga emas daripada berdaftar dan menerima vaksin secepat mungkin.

Di Pagoh pula, sebuah kerusi Parlimen yang dipegang oleh Muhyiddin sejak 1995, bilangan penduduk lebih kurang 80,000 orang. Kalau masih ingat, Keretapi Laju Kuala Lumpur Singapura (KL-Singapore HSR) sepatutnya ada stesen di Bandar Universiti Pagoh. Berdepan dengan cabaran vaksinasi, keadaan di Pagoh lebih kurang sama dengan Gambir. Sampai hari ini PPV belum tersedia. Kita dengar ada usaha untuk menyediakan sebuah PPV di Pekan Pagoh sebelum pertengahan Jun sekiranya isu-isu peralatan dan logistik dapat ditangani cepat.

Sebenarnya, kedua-dua Bukit Gambir dan Pagoh agak teruk diserang wabak penyakit Covid sejak 2020. Berdasarkan statistik yang diumumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah, contohnya di Mukim Jorak dan Mukim Grisek di Pagoh masih mempunyai 354 kes dan 181 kes aktif, masing-masing. Malangnya, ada yang telah pun mati. Peningkatan mendadak kes Covid telah mendorong semua untuk mendaftarkan diri untuk vaksin tetapi kebanyakan masih menunggu dalam kegusaran.

Nasib dan cabaran yang dihadapi oleh orang Pagoh serta Bukit Gambir sebenarnya juga nasib dan cabaran rakyat pekan-pekan kecil dan penempatan luar bandar di Johor. Di negeri yang mempunyai jumlah penduduk seramai 3.6 juta ini, lebih kurang 1.51 juta orang telah berdaftar untuk vaksin Covid (kemaskini 31hb May 2021). Namun bilangan PPV cuma ada 26 buah sahaja mengikut senarai dalam laman web rasmi www.vaksincovid.gov.my. Bilangan PPV yang terbaru mungkin telah mencecah 35 buah kerana dimaklumkan ada beberapa buah pusat yang baru buka di hospital swasta baru-baru ini. Ini bermakna untuk setiap satu PPV bilangan penduduk yang ditampung adalah secara purata 50,000 orang (bersamaan 100,000 dos vaksin) di Johor. Angka nisbah yang amat teruk berbanding dengan negeri lain.

Kita berlumba dengan masa untuk selamatkan nyawa. Kita perlu meningkatkan bilangan PPV secara berlipatganda sehingga 100 buah pusat di seluruh negeri. KKM mempunyai 99 buah Klinik Kesihatan di Johor, ini tidak termasuk belasan hospital kerajaan dan ratusan Klinik Desa di kawasan luar bandar. Banyak lokasi yang boleh boleh dijadikan PPV untuk kemudahan rakyat setempat. Dengan itu, kadar vaksinasi dapat dipertingkatkan sesegera mungkin.

Jangan lupa dalam kabinet Muhyiddin ada tujuh orang Menteri yang berasal dari Johor, iaitu Menteri Kesihatan Adham Baba (Tenggara), Halimah Sadique (Kota Tinggi), Wee Ka Seong (Ayer Hitam), Noraini Ahmad (Parit Sulong), Abd Latiff Ahmad (Mersing) dan Hishamuddin Hussein (Sembrong). Nama-nama besar belaka. Cuma kawasan-kawasan yang diwakili mereka seperti Ayer Hitam, Parit Sulong dan Sembrong langsung tiada PPV. Kenapa pula begitu?

Di kawasan-kawasan luar bandar, masalah pengangkutan merupakan faktor pengekang jika dibandingkan dengan kawasan bandar seperti Johor Bahru, Muar dan Batu Pahat. Orang tua di kampung tidak semestinya ada anak cucu yang boleh membantu kerana orang muda di luar tidak dapat pulang di bawah PKP. Ia amat mendukacitakan apabila ada warga emas yang tertinggal vaksinasi kerana PPV yang terdekat begitu jauh untuk mereka. Belum lagi berkisah tentang sistem temujanji melalui aplikasi MySejahtera yang agak rumit untuk orang tua.

Kami memanggil PM Muhyiddin Yassin dan Menteri-Menteri berkenaan agar tidak lalai dengan tanggungjawab mereka terhadap Johor. Nasib penduduk luar bandar harus dipeduli. Sediakan lebih banyak PPV di seluruh pelosok negari. Vaksin melindungi nyawa kita. Dan nyawa orang kampung di Bukit Gambir, Pagoh, Ayer Hitam, Yong Peng, Parit Sulong, Sembrong, Kahang, Paloh, Benut, Pekan Nanas, Kukup, Rengit dan lain-lain tempat harus dijaga dan dilindungi sama seperti nyawa orang bandar.