Skip to content

Seruan kepada para pengundi dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini untuk menunjukkan sokongan terhadap Ekonomi Madani Anwar supaya Malaysia berada dalam kalangan 25 negara yang paling kurang korup

Saya menyeru kepada para pengundi dalam enam pilihan raya negeri di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu pada 12 Ogos ini untuk menunjukkan sokongan terhadap Ekonomi Madani yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya Malaysia berada dalam kalangan 25 negara yang paling kurang korup.

Perkara ini bermakna, selain daripada Singapura di tempat ke-5, Hong Kong di tempat ke-12, dan Jepun di tempat ke-19 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2022, Malaysia akan mengatasi kedudukan Bhutan (tempat ke-25), Taiwan (26), Emiriah Arab Bersatu (28), Korea Selatan (32), Qatar (40), Arab Saudi (56), Mauritius (58) dan Jordan (60) dalam TI CPI pada masa hadapan memandangkan kita berada di tempat ke-61 dalam TI CPI 2022.

Sekiranya sasaran ini berjaya, ia akan menjadi keputusan terbaik Malaysia dalam TI CPI yang diterbitkan setiap tahun dalam tiga dekad yang lepas. Sebelum ini, kedudukan terbaik Malaysia adalah di tempat ke-23 dari 41 buah negara dalam siri pertama TI CPI pada tahun 1995. Sejak dari siri pertama ini, jumlah negara yang ditinjau telah meningkat kepada 180 buah negara dan kedudukan Malaysia terus merosot sehingga ke tempat ke-61 pada tahun 2021 dan tempat ke-21 pada tahun 2022.

Rasuah adalah satu perkara yang dikutuk dalam semua agama, walaupun terdapat sesetengah oportunis politik yang cuba untuk memberikan perasa perkauman atau keagamaan terhadap rasuah.

Rasuah, dalam segala bentuknya, adalah satu kesalahan serius terhadap prinsip dan nilai utama Islam.

Islam, sebagai sebuah agama yang suci dan dengan belas ihsan, menekankan kepentingan kejujuran, integriti, dan tanggungjawab dalam semua aspek kehidupan. Kitab Quran secara terang-terangan mengecam rasuah dan memberikan amaran terhadap mereka yang menyebarkan kejahatan di muka bumi. Surah Al-Baqarah (2:188) berbunyi, “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Islam menyeru penganutnya untuk bersikap adil dan jujur dalam urusan mereka, tanpa mengira status atau kuasa.

Rasuah bertentangan dengan ajaran semua keagamaan dan nilai etika semua agama-agama dunia dan falsafah hidup.

Di teras fahaman Buddha misalnya, Buddha mempromosikan tindakan beretika, belas ihsan, dan penyemaian kebijaksanaan untuk mengakhirkan penderitaan dan mencapai pencerahan.

Manakala rasuah pula merupakan satu perbuatan tidak jujur oleh individu yang berada dalam kedudukan berkuasa, kebiasaannya untuk kepentingan peribadi. Rasuah biasanya melibatkan salah guna kuasa yang diamanahkan untuk tujuan mementingkan diri sendiri, yang berpotensi untuk merosakkan masyarakat dan merendah-rendahkan prinsip keadilan dan kesaksamaan.

Kristian, seperti mana-mana agama utama yang lain, juga menyentuh mengenai isu rasuah dan impaknya terhadap masyarakat.

Dalam ajaran Kristian, rasuah dilihat sebagai satu perbuatan berdosa dan terpesong dari nilai-nilai dan prinsip yang dibawa oleh Jesus Christ.

Di dalam Kitab Injil ada pelbagai ayat yang mengecam perbuatan korup dan menekankan kepentingan kejujuran, integriti, dan keadilan.

Hindu adalah antara agama tertua di dunia dan mempunyai tradisi falsafah dan etika yang sangat kaya. Teks-teks asas Hindu, seperti kitab-kitab Veda, Upanishad, Bhagavad Gita, dan lain-lain menekankan prinsip moral, keadilan, dan pencarian kebenaran.

Rasuah juga bertentangan dengan prinsip moral dan etika Ren (biasanya diterjemahkan sebagai “kebajikan” atau “kemanusiaan”, konsep ini menekankan kepentingan belas ihsan, empati, dan nilai moral terhadap orang lain); Yi (kebenaran dan tanggungjawab untuk melakukan perkara yang betul); dan Li (merujuk kepada perbuatan, ritual, dan etika yang baik. Perkara ini menekankan kepentingan untuk menghormati norma dan hirarki masyarakat).

Perbuatan rasuah selalu melibatkan ketiadaan integriti moral, kejujuran, dan salah guna kuasa demi kepentingan peribadi, yang bertentangan dengan nilai-nilai Confucius.

Rasuah juga bertentangan dengan nilai-nilai dalam Taoisme, yang secara tidak langsung menegah perbuatan korup yang mengganggu keharmonian dengan Tao.

Agama Sikh juga mengecam perbuatan rasuah kerana Sikhisme mengecam perbuatan yang tidak jujur, eksploitasi, dan sebarang bentuk tindakan tidak beretika.

Memandangkan semua agama dan falsafah utama mengecam rasuah, amatlah bertepatan dan bersesuaian untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, untuk bersatu padu dan menyokong Ekonomi Madani Anwar untuk menjadikan Malaysia salah satu negara terbaik dunia dalam memerangi rasuah.