Kelmarin, sebahagian besar masyarakat di Malaysia sibuk membincangkan berita berkenaan seorang isteri pegawai polis didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan mencuri dua utas jam tangan mewah Rolex model Sky Dweller dan model GMT Master-II 9 milik suaminya. Anggaran harga bagi dua buah jam yang telah dicuri adalah RM207,000 bagi Sky Dweller manakala RM198,000 bagi GMT Master-II 9.
Sekiranya kita lihat kes ini dengan lebih dekat, terdapat beberapa perkara yang menjadi tanda tanya. Antara persoalannya adalah, apakah seorang pegawai polis mampu membeli barangan mewah yang harganya mencecah ratusan ribu ringgit? Tambahan pula, baru-baru ini juga kita didedahkan tentang pendapatan polis yang masih berada di takuk lama.
Oleh yang demikian, sudah menjadi tanggungjawab pihak PDRM untuk menjelaskan kepada masyarakat ramai bagaimanakah pegawai polis berkenaan dapat memperolehi dua buah jam tangan Rolex tersebut? Orang ramai perlu tahu dari manakah pegawai terbabit mampu memiliki dua jam tangan tersebut, apakah jam itu dibeli dengan gaji yang diterimanya sebagai anggota polis atau melalui kaedah lain?
Sekiranya pihak PDRM hanya berdiam diri di dalam kes ini, ia hanya akan membawa nama buruk kepada PDRM.